SEREMBAN - Tiga anggota polis parah, manakala lima orang kena tuduh (OKT) cedera apabila kereta peronda polis (MPV) dan trak yang dinaiki mereka, terlibat kemalangan di simpang empat Green Technology Park, Seremban 2, berhampiran Pejabat Daerah Seremban, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul berkata, dalam kejadian 1.15 tengah hari itu, semua OKT tersebut diambil dari Mahkamah Seremban untuk dibawa ke lokap Balai Polis Sikamat, selepas selesai prosiding mahkamah.
Katanya, semasa kejadian, MPV berkenaan berada di bahagian depan mengiringi trak polis yang membawa seramai 26 OKT.
"Kejadian berlaku apabila MPV cuba mengelak sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti menyebabkan ia terbabas.
"MPV itu kemudiannya merempuh trak polis menyebabkan dua kenderaan terbabit tercampak ke kiri dan kanan jalan,” katanya.
Ibrahim berkata, akibat rempuhan itu, tiga anggotanya parah manakala lima OKT yang lain cedera.
Katanya, sejurus kejadian itu, sebuah trak polis lain tiba untuk membawa seramai 21 OKT untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.
Manakala mereka yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung punca sebenar kejadian dan jumlah individu yang tercedera dalam kemalangan itu.