SHAH ALAM – Jangan budayakan cinta kebendaan dalam keluarga kerana itu bakal merosakkan jiwa anak-anak.
Aktivis Politik, Liyana Marzuki berkata, cendekiawan Islam, Ibnu Khaldun pada 600 tahun lalu sudah mengingatkan bila masyarakat itu sudah selesa mereka akan jadi leka kerana duniawi.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Kompas Rasuah Busters ‘Kuasa Takluki Integriti?’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panelis Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia Chapter, Datuk Seri Akhbar Satar dengan dhoskan oleh Anim Ezati Rizki.
"Sebagai contoh anak-anak kita jika tak dapat iPhone, mereka merajuk nak iPhone makna dari kecil lagi kita dah ajar.
"Kita pun sendiri susah, bila tengok orang pakai beg tangan baharu, kita rasa nak beli juga. Segalanya bermula daripada kita, didik anak di rumah supaya tidak pandang kebendaan,” tegasnya.
Jelasnya, masyarakat perlu berbalik kepada kepada konsep prinsip zuhud itu, kesederhanaan, wasatiah dalam kehidupan.
"Contohnya tak salah kalau kita beli baju terpakai (bundle) kalau cantik lagi kerana di Jepun prinsip kesederhanaan itu diterapkan sejak kecil bermula dari rumah,” katanya.
Liyana berkata, untuk membanteras rasuah, sebagai pengundi kita perlu bersuara dan terus mendesak kerajaan
"Kalau kita faham kuasa sebagai rakyat itu boleh mendesak kerajaan supaya berubah kerana mereka takut dengan kita, kalau kita kumpulkan kuasa rakyat itu,kalau mereka pandai-pandai nak melepaskan kes tertentu, mereka akan fikir dua kali kerana itu akan memudaratkan.
"Kena faham ‘the power of people is always greater then people in power’ banyak boleh kita lakukan bersama untuk merubah negara ke arah lebih baik,” ujarnya.