SKUAD Perancis enggan menoleh ke belakang lagi, sebaliknya mahu fokus mempertahankan gelaran Piala Dunia selepas kejayaan di Rusia empat tahun lalu.
Pemain penyerang, Antoine Griezmann berkata, skuad Perancis tidak mahu terlalu dibuai kemenangan di separuh akhir selepas mengalahkan Maghribi 2-0 pada Khamis.
Tumpuan skuad Les Bleus ketika ini ialah Argentina yang akan menjadi lawan mereka dalam aksi final di Stadium Lusail pada Ahad.
Penyerang Atletico Madrid itu menjadi arkitek kejayaan Perancis di Piala Dunia Qatar dalam usaha Les Bleus untuk menjadi pasukan pertama mengekalkan kejuaraan selepas 60 tahun.
Kali terakhir dilakukan Brazil menerusi kejayaan berganda pada edisi 1958 dan 1962.
"Empat tahun lalu selepas (kemenangan 1-0 di separuh akhir ke atas) Belgium, saya menangis, tetapi sekarang saya lebih fokus untuk Ahad.
Perancis membuka tirai jaringan menerusi bek kiri, Theo Hernandez dan gol lewat permainan Randal Kolo Muani membawa Les Bleus ke final sekali gus menamatkan perjalanan epik Maghribi.
"Saya kagum aksi Maghribi. Mereka mempunyai taktikal yang baik, bertahan dan menyerang. Mereka memberikan masalah kepada kami.
"Gol awal menjadikan keadaan lebih mudah buat kami. Gol kedua kami berasa lebih selesa. Ia perlawanan yang sukar, perkara-perkara kecil yang membezakannya," katanya.
Bagi Griezmann, pasukan yang mempunyai pemain sensasi, Lionel Messi di dalamnya berada di tahap berbeza.
Griezmann dan pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu pernah beraksi bersama ketika mereka di Barcelona.