Peralatan kilang keluar asap busuk disita

Iklan
JAS memeriksan peralatan digunakan bagi aktiviti peleburan logam yang disyaki beroperasi secara haram hingga menghasilkan asap busuk di Kampung Bekor pada Rabu.

KUALA KANGSAR - Semua peralatan pemprosesan dan bahan mentah milik dua kilang peleburan logam yang disyaki beroperasi secara haram hingga menghasilkan asap busuk di Kampung Bekor di sini disita.

Tindakan sitaan dilakukan selepas mendapati operasi kilang yang menjalankan aktiviti peleburan menggunakan buangan terjadual sebagai bahan mentah itu tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa terutama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Iklan
Iklan

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, sitaan dilakukan serta-merta mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling sehingga siasatan selesai.

"Polis kini dipertanggungjawabkan memantau kilang-kilang ini bagi memastikan tiada pergerakan mengeluarkan mana-mana peralatan yang disita.

Iklan

"Dalam masa sama, JAS melengkapkan siasatan agar pihak yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya termasuk tindakan mahkamah," katanya dalam sidang akhbar sempena operasi bersepadu ke kawasan kilang berkenaan di sini pada Rabu.

Turut serta, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Dr Hashim Bujang.

Rosli (kiri) bersama Kok Lim memeriksan bahan mentah yang belum diproses ketika pemeriksaan kilang peleburan logam yang disyaki beroperasi secara haram hingga menghasilkan asap busuk di Kampung Bekor pada Rabu.

Iklan

Pada Sabtu lepas, Sinar Harian melaporkan lebih 500 penduduk hidup dalam keadaan tidak selesa apabila terpaksa menghidu asap tebal berbau busuk yang dilepaskan dari kilang terbabit.

Kok Lim berkata, penilaian awal yang dilakukan JAS membuktikan aduan penduduk adalah berasas berdasarkan kepada pelanggaran syarat diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada antaranya tidak mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) serta gagal menstor buangan terjadual dengan baik.

Malah katanya, semakan mendapati, kilang itu didirikan dalam kawasan yang bukan diwarta sebagai kawasan perindustrian, tetapi tanah pertanian iaitu kelapa sawit yang terpencil dengan kedudukan kira-kira dua hingga lapan kilometer dari laluan utama.

"Dalam operasi ini, kita tidak dapat mengenal pasti pengusaha kilang dan pemilik tanah, namun terdapat bukti-bukti operasi ditinggalkan berupa fasiliti, peralatan dapur serta bahan mentah yang belum diproses.

"Komitmen kita selepas ini untuk pastikan mereka tidak akan beroperasi lagi bukan sahaja di sini, tetapi tempat lain juga. Kita mahu mereka yang menjalankan aktiviti haram ini dipertanggungjawabkan," katanya.

Pihak berkuasa menyita serta-merta semua peralatan memproses dan bahan mentah milik dua kilang peleburan logam yang disyaki beroperasi secara haram hingga menghasilkan asap busuk di Kampung Bekor, Kuala Kangsar.

Operasi bersepadu turut melibatkan polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).