'Isu saman Anwar tak jejas hubungan Kedah, Pusat'

Iklan
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan isu saman antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjejaskan hubungan antara kerajaan negeri dan Pusat.

Menurutnya, saman itu adalah urusan peribadi antara beliau dan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

"Jadi saya tidak meletakkan itu sebagai satu asbab kepada kerenggangan atau perpecahan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Malam Anugerah Sastera Darul Aman di sini pada Rabu malam.

Iklan
Iklan

Menurut Muhammad Sanusi, sekiranya Anwar menggunakan isu berkenaan untuk menganaktirikan Kedah, ia adalah tindakan tidak profesional.

"Tak perlu, itu hal dia dan saya, kalau dia ambil hal itu untuk menganaktirikan kita, saya rasa dia koyak lah. Panas tak apa, jangan koyak," selorohnya.

Iklan

Pada Selasa, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun telah memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi berhubung ucapan pilihan raya dalam kempen ceramah pada 13 November lalu yang didakwa berunsur fitnah.

Kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook di bawah nama Faizal Azumu.

Iklan

Dalam masa yang sama, Muhammad Sanusi turut bersedia untuk berhadapan dengan Anwar di mahkamah berhubung saman terbabit.