KEBANYAKAN orang akan mengalami masalah sakit kepala (headache) dari masa ke masa, tidak kiralah sama ada sakit itu sedikit ataupun sangat teruk.
Cara menghilangkannya bergantung kepada jenis sakit kepala itu sendiri, namun terdapat beberapa cara untuk mengurangkan kesakitan dan petua menghilangkannya dalam jangka masa yang panjang – untuk mengelakkan kesakitan itu berterusan dan semakin bertambah.
Dalam artikel kali ini, kami akan menyenaraikan beberapa petua dan cara menghilangkan sakit kepala yang berkesan.
Sekiranya anda mengalami sakit kepala, perkara pertama yang anda akan fikir adalah bagaimana untuk hilangkan rasa yang sakit tersebut. Berikut adalah beberapa cara cadangan yang anda boleh gunakan:
1. Rujuk Bantuan Doktor
Sekiranya anda mengalami masalah sakit kepala yang sangat kuat, adalah terbaik langkah pertama yang anda ambil adalah mendapatkan nasihat doktor. Hal ini kerana untuk mengesahkan masalah sakit kepala itu tidak bersangkut paut dengan simptom-simptom penyakit yang lain. Penyakit seperti strok, encephalitis ataupun meningitis boleh menyebabkan sakit kepala yang agak teruk.
Dapatkan nasihat doktor dengan kadar yang segera sekiranya anda mengalami beberapa perkara di bawah:
- Masalah berjalan
- Leher tegang
- Loya dan/atau muntah
- Demam panas
- Sukar menggerakkan anggota badan
- Berasa tersangat lemah
- Sakit kepala yang sangat kerap
- Ubat-ubatan yang digunakan tidak berhasil
2. Dapatkan Ubat-Ubat Farmasi
Kebanyakan ubat tahan sakit akan memberikan kesan yang agak lama selepas mengambilnya (dalam anggaran 60-120 minit). Oleh itu, anda digalakkan untuk mengambilnya sebaik sahaja anda merasakan sakit kepala.
Selain paracetamol, ataupun Panadol yang kita sering ambil semasa sakit kepala, penggunaan ibuprofen, acetaminophen, naproxen, aspirin ataupun capsaicin nasal spray juga boleh digunakan sebagai gantian.
Namun, berhati-hati dengan dos yang diambil. Jangan melebihi dos harian yang dinyatakan ataupun dinasihatkan oleh doktor anda. Penggunaan yang berlebihan boleh menyebabkanMedication Overuse Syndrome, iaitu satu sindrom di mana seseorang itu tetap mengambil ubat sakit kepala walaupun dia tidak mengalami masalah sakit kepala pada ketika itu.
Penggunaan yang berlebihan ini boleh menyebabkan masalah sakit kepala yang kerap pada masa hadapan, juga sering dikenali sebagai"rebound headaches”.
3. Berhati-Hati Dengan Kafein
Minuman ataupun makanan yang mengandungi kafein boleh dikatakan sebagai pedang dua mata. Hal ini kerana ia boleh menjadi satu ubat dan juga satu punca sakit kepala itu bertambah teruk – ia bergantung kepada orang itu sendiri.
Kebanyakan ubat-ubatan yang anda boleh dapati mengandungi kafein, untuk mencepatkan keberkesanan ubat tahan sakit tersebut.
Semasa sakit kepala, adenosine dibebaskan ke dalam saluran darah. Kafein membantu dengan menghalang reseptor adenosine. Hadkan pengambilan kafein untuk merawat sakit kepala kepada dua kali seminggu. Pengambilan yang banyak boleh menyebabkan anda menjadi caffeine dependent, terutama kepada yang mengalami migrain.
Sekiranya anda seorang peminum kopi tegar (lebih daripada 200mg sehari, ataupun 2 cawan kopi) dan anda secara tiba-tiba tidak mengambilnya dalam sehari itu, anda akan mengalami masalah sakit kepala sebagai satu kesan sampingan.
Hal ini kerana pengambilan kafein ataupun kopi setiap hari mengembangkan saluran darah ke kepala. Sekiranya anda tidak mengambilnya pada suatu hari itu, saluran tersebut akan mengecil dan akan menyebabkan tekanan pada kepala, lantas menyebabkan anda berasakan sakit kepala. Jika anda ingin mengurangkan kadar pengambilan kafein, anda perlu melakukannya dengan kadar yang perlahan.
Jika anda tidak peminum kopi, dan anda kerap merasakan sakit kepala, adalah terbaik bagi anda agar tidak meminum kopi kerana ada kemungkinan sakit kepala akan lebih teruk jika ada pengambilan kafein.
4. Minum Air Yang Banyak
Dehidrasi (dehydration) boleh menyebabkan masalah sakit kepala. Minum air masak dengan kadar yang banyak jika kepala anda mula berasa sakit, dan kerapkan pengambilan air sepanjang hari tersebut (walaupun dengan kadar yang sedikit setiap pengambilan). Anda akan merasakan kesakitan itu akan berkurangan.
- Bagi lelaki: minum sekurang-kurangnya 13 gelas air (3 liter) setiap hari
- Bagi perempuan: minum sekurang-kurangnya 9 gelas air (2.2 liter) setiap hari
Anda perlu minum air yang lebih banyak daripada saranan yang dinyatakan di atas sekiranya anda dalam situasi-situasi berikut:
- menjalani aktiviti senaman ataupun yang berat
- tinggal di kawasan yang panas
- sakit yang kerapkan anda muntah atau cirit-birit
- sedang menyusukan anak
Sekiranya anda ingin menggunakan cara ini, anda dinasihatkan agar tidak meminum air yang sangat sejuk (berais). Hal ini kerana minuman ini boleh menyebabkan migrain kepada sesetengah orang – lebih-lebih lagi kepada orang yang sering mengalami migrain. Pengambilan air masak pada suhu bilik adalah terbaik dalam kes ini.
5. Berehat Pada Tempat Yang Sesuai
Sebaik-baik tempat untuk berehat semasa anda sakit kepala adalah tempat yang sunyi dan gelap. Sekiranya boleh, cuba baring dan rileks/ berehat selama 30 minit. Pejam mata, tutup lampu.
Selain itu, anda juga boleh tidur sekejap untuk melegakan kesakitan tersebut. Pastikan tempat anda tidur/ berehat tersebut selesa dan kepala anda mendapat sokongan seperti bantal.
Anda juga boleh memilih suhu yang sesuai dengan anda semasa berehat. Sesetengah orang lebih selesa dalam keadaan yang sejuk pendingin hawa, manakala sesetengah orang lain pula lebih selesa dengan angin kipas sahaja. Mana-mana pun boleh, pilihlah yang mana anda berasa lebih selesa.
6. Praktikkan Senaman
Percaya atau tidak, senaman ringan juga boleh membantu anda menghilangkan sakit kepala. Hal ini kerana masalah sakit kepala salah satunya berpunca daripada kekurangan bekalan darah ke kepala. Dengan sedikit senaman ringan, anda boleh membantu saluran darah ke otak, lantas mengurangkan sakit kepala.
Anda boleh menggunakan yoga untuk tujuan tersebut, namun sekiranya tidak biasa, ikuti langkah-langkah yang mudah ini:
- Baring dalam posisi yang anda selesa. Pejam mata dan tarik nafas yang panjang.
- Bermula dengan dahi, tegangkan semua otot ke sesuatu tempat untuk 5 saat.
- Mengendurkan otot tersebut dan biarkan 5 saat untuk merasakan kelegaan tersebut.
- Seterusnya, beralih kepada otot-otot yang lain pula, antara otot yang anda boleh lakukan adalah: dahi, mata, hidung, mulut/pipi, tangan, bahu, belakang badan, perut, pinggan, punggung, paha dan kaki.
7. Gunakan Kain Basah/Sejuk
Pernah tengok tak orang tua-tua menggunakan kain yang basah ataupun sejuk dan letakkannya di atas dahi orang yang sakit/ demam – mungkin biasa tengok cerita drama Cina/Jepun ataupun anime yang bertemakan zaman dahulu.
Hal ini kerana benda yang sejuk dan lembut yang diletakkan di atas dahi/ kepala boleh melegakan saluran darah dan secara tidak langsung mengurangkan kesakitan kepala.
Sekiranya anda berminat dengan cara ini, ada beberapa cara untuk melakukannya:
i. Kain dan Air Sejuk- Sediakan kain yang lembut dan air masak ataupun air yang sejuk.
- Basahkan kain tersebut dengan merendamkannya ke dalam air tersebut. Perah sedikit untuk mengelakkan air terlalu banyak.
- Letakkannya di atas dahi anda untuk beberapa minit.
- Basahkan kain tersebut sebaik sahaja kain tersebut mula berasa suam (kerana menyerap suhu badan anda).
- Sediakan beg plastik yang boleh ditutup ataupun seal, dan air.
- Masukkan air ke dalam beg plastik tersebut, kemudian sealkannya.
- Biarkan air tersebut membeku (menjadi ais) di dalam peti sejuk.
- Keluarkannya, dan letakkan di atas kepala anda. Anda boleh menggunakan kain sebagai alas.
Sekarang, sudah terdapat produk-produk komersial yang menggunakan konsep ini dalam bentuk patch yang mudah dipakai di dahi. Anda boleh mendapatkannya dari kedai-kedai runcit dan farmasi yang berdekatan.
Sekiranya sakit kepala anda berpunca daripada stres, penggunaan air panas memberikan kesan yang lebih baik berbanding dengan air sejuk. Oleh itu, pastikan anda tahu punca sakit kepala anda sebelum mencuba cara-cara di atas.
8. Urutan Pada Muka dan Kepala
Pada umumnya, jika anda mengalami masalah sakit kepala, urutan pada kulit kepala boleh membantu melegakan kesakitan tersebut. Hal ini kerana dengan mengurut boleh membantu sistem peredaran darah ke kepala dan otak, dan secara tidak langsung melegakan sakit kepala.
Cara-caranya adalah mudah sahaja:
- Letakkan ibu jari ataupun jari telunjuk pada sisi kepala (tempat di antara telinga dan mata).
- Berikan sedikit tekanan pada tempat tersebut dengan jari anda dan gerakkan dalam pusaran/bentuk bulat.
Selain cara di atas, anda boleh mengurut kulit kepala anda. Anda boleh menggunakan syampu dan mengurut kepala anda dengannya. Salah satu cara yang lain adalah dengan menggunakan minyak kelapa ataupun minyak zaitun. Sapukan pada kulit kepala dan urutnya seperti biasa.
9. Urut Leher dan Bahu
Tekanan pada leher dan bahu boleh menyebabkan masalah sakit kepala. Dan sakit kepala jenis ini adalah yang paling mudah untuk diatasi.
Anda boleh menggunakan senaman yang ringan untuk melegakan sakit kepala anda. Salah satunya adalah dengan menggunakan senaman panaskan badan yang melibatkan pergerakan kepala, bahu, lengan dan pinggan.
10. Guna Kaedah Akupuntur
Cara rawatan akupuntur boleh menghilangkan sakit kepala, terutama masalah sakit kepala yang berpunca daripada tekanan (stres) dan ketegangan otot. Jika anda ingin menggunakan kaedah ini, anda perlu mengetahui asas-asas titik akupuntur, sekiranya tidak, anda digalakkan untuk mencuba cara yang lain (untuk mengelakkan kemudaratan).
Secara ringkasnya, kaedah ini memerlukan anda menekan titik akupuntur anda dengan tekanan yang tertentu dan dalam jangka masa yang tertentu. Jika anda berminat, anda boleh dapatkan gambar rajah titik akupuntur anda di bawah dan tekan pada titik tersebut pada badan anda. Anda juga boleh mengurut pada titik tersebut jika mahu.
11. Belajar Untuk Rileks
Orang di seluruh dunia mempelajari dan menguasai cara-cara untuk mengalihkan perhatian daripada berasa sakit. Jika anda mengalami sakit kepala, anda tidak perlu mempelajari benda yang baharu kerana anda mungkin sudah mengenalpasti cara yang sesuai untuk menenangkan diri anda.
Anda boleh memilih beberapa cara cadangan di bawah:
- Meditasi
- Bersolat
- Tarik dan hembus nafas yang panjang
- Dengar muzik
- Tidur
Apa yang penting adalah anda melakukan perkara yang boleh menenangkan anda, ataupun perkara yang anda suka lakukan. Hal ini boleh mengalihkan perhatian otak anda daripada perasaan sakit kepada perkara yang anda sedang lakukan tersebut.
12. Amalkan Senaman Bernafas
Kadang kala, dengan bernafas sudah cukup untuk menghilangkan sakit kepala. Apa yang saya ingin sampaikan adalah dengan menarik dan menghembus nafas yang panjang. Hal ini kerana cara ini boleh melegakan sebarang tekanan minda dan otot anda untuk beberapa ketika.
Untuk mengamalkan kaedah ini, anda sebaik-baiknya berada di tempat yang sunyi, suhu yang sesuai dan gelap.
Baringkan badan anda dalam posisi yang anda rasa paling selesa, dan mula menarik nafas yang panjang, sehingga anda dapat rasa paru-paru anda berkembang. Tahan nafas selama 2-5 saat, kemudian menghembuskannya melalui mulut. Lakukannya untuk beberapa kali sehingga sakit kepala anda berkurangan.
Sumber: www.infopelajar2u.com