Rakan penghantar Grab jadi hero masyarakat

Iklan
Tangkap layar dirakam kamera aksi Mohd Sazwandi ketika memberikan bantuan kepada seorang lelaki tua yang terjatuh di tepi jalan sekitar Pekan Lido, Kota Kinabalu

Mereka sanggup berkorban bantu orang biarpun berdepan tuntutan masa penghantaran

Tangkap layar dirakam kamera aksi Mohd Sazwandi ketika memberikan bantuan kepada seorang lelaki tua yang terjatuh di tepi jalan sekitar Pekan Lido, Kota Kinabalu

SHAH ALAM - Pekerjaan sebagai penghantar makanan bukanlah satu tugasan yang mudah.

Iklan
Iklan

Selain berhadapan dengan risiko dan bahaya di atas jalan raya, kepelbagaian kerenah pelanggan menjadi merupakan antara dugaan harian yang terpaksa dihadapi oleh kumpulan tersebut.

Namun begitu, setiap cabaran dilalui tidak menyebabkan mereka bersikap tidak peduli sebaliknya menjadi lebih peka dan dekat dengan masalah dihadapi oleh masyarakat sekeliling

Iklan

Jika dilihat menerusi kebanyakan video viral khususnya membabitkan sebarang insiden kecemasan mahupun kemalangan, rakan penghantar makanan dilihat sering kali menjadi individu pertama yang pantas untuk berada di lokasi bagi menghulurkan bantuan.

Rakan penghantar Grab juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan penuh bermakna kepada masyarakat. Biarpun dalam kesibukan mengejar penghantaran pesanan namun jika ada komuniti yang dilanda kecemasan, geng Grab Lejen ini tak akan memandang sepi sahaja.

Iklan

Grab Lejen merupakan inisiatif yang diwujudkan oleh Grab Malaysia bagi meraikan rakan-rakan pemandu dan penghantarnya yang selama ini terbukti menjadi gagasan mantap dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.

Ia bertujuan memperakui kisah perjuangan komuniti Grab yang telah berhempas pulas menghulur khidmat bakti sebagai petugas barisan hadapan bagi memanfaatkan warga Malaysia di samping memperkasa punca pencarian dengan pelbagai manfaat tambahan.

Ikuti kisah beberapa orang Grab Lejen yang menyerlahkan sikap keprihatinan mereka terhadap masyarakat dan ia memberi makna besar kepada individu berkaitan.

MOHD SAZWANDI


Bagi rakan penghantar Grab, Mohd Sazwandi Sumarti, 26, risiko menerima penilaian buruk akibat kelewatan menghantar pesanan langsung tidak berada dalam fikirannya ketika menolong seorang lelaki tua yang terjatuh di tepi jalan ketika hendak ke klinik di sekitar pekan Lido, Kota Kinabalu, Sabah pada Julai lalu.

Bercerita kepada Sinar Harian, pemuda berasal dari Papar, Kota Kinabalu berkata, dia pada awalnya hanya terserempak dengan lelaki tua itu yang cuba melintas jalan dengan menggunakan tongkat dalam keadaan sangat uzur di sebuah jalan di pekan berkenaan.

"Waktu itu saya memang dah tidak sedap hati tapi saya teragak-agak juga untuk berhenti. Tapi bila dah berjalan agak jauh sekitar 10 minit, rasa hati saya meminta untuk saya patah balik,” ujarnya.

Mohd Sazwandi berkata, keputusannya untuk berpatah balik dan mencari lelaki tersebut di sekitar kawasan tersebut ternyata tepat kerana dia menemuinya dalam keadaan baharu sahaja terjatuh di tepi jalan.

"Waktu dia jatuh itu, mukanya tersembam di atas jalan raya. Walaupun banyak kereta di jalan ketika itu, tapi banyak yang berhentikan kenderaan mereka mungkin kerana nak elakkan kesesakan.

"Sebab jatuh itu muka orang tua itu berdarah. Bila dah jadi macam itu, saya memang tidak benarkan dia balik atau berjalan sendiri,” ujarnya.

Mohd Sazwandi berkata, dia bersama beberapa orang awam termasuk rakan Grab lain yang datang kemudian menelefon ambulans bagi merawat lelaki tersebut.

"Saya tunggu hampir sejam sebelum ambulans sampai dan bawa lelaki tersebut. Dalam tempoh itu, saya dah maklumkan kepada pelanggan dan syukur mereka pun faham keadaan ketika itu.

"Mereka kata tidak apa, yang penting dahulukan nyawa orang, itu lebih penting,” jelasnya yang juga berbangsa Kadazan.

Mohd Sazwandi berkata, dengan keadaan kesihatan sedemikian, dia tidak dapat membayangkan situasi bakal menimpa lelaki tua tersebut sekiranya bantuan yang diberikan lambat tiba.

"Jadi memang kalau lama orang tak tolong saya tidak tahulah apa akan jadi. Dengan umur begitu sebarang kemungkinan boleh berlaku,” ujarnya yang turut merakamkan kejadian tersebut dengan menggunakan kamera aksi yang dipasangkan di helmet miliknya.

Katanya, keputusan untuk berkongsi video tersebut di sosial medianya juga bertujuan untuk membantu lelaki tersebut agar mendapatkan bantuan yang sepatutnya daripada pihak berkaitan.

Inisiatif kecil bertukar jadi kenangan paling manis

ROSYAFFIQ


Dalam pada itu, bagi seorang rakan penghantar Grab dari Manjung, Perak, Rosyaffiq Rozimi, 23, dia tidak menyangka inisiatif kecil yang dilakukannya untuk membantu pelanggan bertukar menjadi antara kenangan manisnya buat dirinya sepanjang hampir setahun melakukan pekerjaan tersebut.

"Waktu itu saya dapat satu pesanan makanan istimewa daripada sebuah restoran. Bila saya dah hantar ke pelanggan, dia periksa pesanan itu rupanya pekerja restoran lupa nak letakkan mainan yang sepatutnya diberikan sekali dengan makanan tersebut.

"Jadi saya lihat wajah pelanggan itu macam agak kecewa sebab mainan itu memang untuk gembirakan anaknya yang ketika itu saya lihat mungkin agak kurang sihat dan sedang menangis.

"Anak dia ketika itu pun dah tunggu depan pintu untuk tunggu mainan tersebut,” katanya.

Disebabkan situasi tu, Rosyaffq berkata, dia mengambil keputusan untuk berpatah balik walaupun jarak antara rumah tersebut dan restoran berkenaan adalah agak jauh iaitu kira-kira 8 kilometer (KM) di samping perlu turut menyelesaikan pesanan baharu yang lain.

"Bila saya datang balik kira-kira sejam selepas itu, pelanggan itu pun sebenarnya agak tak sangka dan Alhamdulillah saya lihat dia sangat gembira. Masa saya sampai itu anaknya masih menangis lagi.

"Jadi bila dah ada mainan itu, saya lihat ia dapat membantu pelanggan tersebut untuk gembirakan anak dia.

"Walaupun saya anggap apa yang saya buat ketika itu itu tidaklah seberapa besar, tapi kadang-kadang ia sangat besar untuk orang lain,” katanya menceritakan kembali kisah tersebut yang berlaku baru-baru ini.

AHMAD AZFAR

Sementara bagi seorang rakan penghantar Grab dari Kelana Jaya, Selangor, Ahmad Azfar Syazwan Azha, peristiwa terbabit dengan kemalangan kecil di jalan raya ketika bekerja langsung tidak membuatkannya lupa terhadap komitmen memastikan pesanan pelanggan sampai dengan baik.

Meskipun mengakui agak terkejut dengan insiden tersebut yang menyaksikan dirinya terjatuh daripada motosikal selepas cuba mengelak daripada melanggar sebuah kenderaan, dia berkata, fikirannya ketika itu adalah hanya untuk memastikan pesanan tiba pada waktunya.

"Bila dah jatuh itu dan orang ramai semua bantu angkat motosikal, saya periksa badan semua tidak ada cedera apa. Jadi selepas itu memang saya hanya ingat nak hantar bungkusan makanan itu secepat mungkin kerana saya tidak mahu pelanggan tertunggu-tunggu.

"Lagipun saya tidak maklumkan kepada pelanggan apa yang saya alami,” ujarnya.

Syazwan berkata, dia hanya memeriksa kembali keadaan motosikalnya dan pergi ke bengkel selepas selesai menghantar pesanan berkenaan.