ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kecewa dengan tindakan seorang pegawai kanan Dewan Bahasa dan Pusaka (DBP) yang tidak hadir ke Majlis Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) pada Rabu malam atas alasan Kedah kini adalah negeri pembangkang.
Beliau menegaskan, sebagai agensi kerajaan, DBP tidak wajar mengamalkan amalan 'sihir pemisah' kerana sastera tidak sepatutnya dicampur aduk dengan politik.
"Dalam karya-karya sastera ada istilah yang sesuai (iaitu) tak boleh mereka mengamalkan 'sihir pemisah' kerana politik disebabkan sastera penulisan ini duduk bakul lain," katanya ketika ditemui pada majlis anugerah berkenaan di sini pada Rabu Malam.
Muhammad Sanusi berkata, anugerah yang kali pertama diadakan dalam tempoh 47 tahun itu sepatutnya mendapat kerjasama dengan DBP yang berperanan memartabatkan bahasa, seni dan kesusasteraan.
"Saya sangat berharap agensi kerajaan yang mengawal selia agenda terbabit khususnya penulisan tidak diheret ke kancah politik.
"Walau bagaimanapun saya ucap tahniah kepada Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) yang telah berjaya menganjurkan majlis ini sebagai satu penghargaan pengiktirafan kepada satu dunia kesusasteraan yang semakin hari semakin dilupakan, kita tidak boleh meminggirkan bidang karya penulisan sastera seni yang begitu tinggi nilainya kepada masyarakat kita," katanya.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga bersedia untuk memberi komitmen dalam penganjuran anugerah itu pada tahun hadapan dengan peruntukan yang lebih besar.
"Kedah melahirkan ramai Sasterawan Negara namun lebih banyak mendapat pengiktirafan di negeri lain.
"Jadi kalau dia tak bergerak ke negeri lain, dia tak dapatlah (anugerah), walaupun banyak anugerah anugerah diterima tapi oleh kerana kita tak ada anugerah di peringkat negeri, dia tak dapat anugerah di Asia Tenggara, rugilah penulis penulis kita dari negeri Kedah.
Pada majlis itu, sasterawan Osman Ayob dipilih untuk menerima Anugerah Sasterawan Kedah 2022.