'Berpaut pada tong ikan tengah laut'

Iklan
Syed Shahrizam (tengah) ketika diselamatkan selepas lebih sejam terapung di laut pada Selasa.

KUANTAN - Insiden bot dinaiki terbalik akibat dipukul ombak dalam kejadian di muara Sungai Balok di sini Selasa lalu masih meninggalkan kesan kepada nelayan, Syed Shahrizam Syed Abdul Rahman.

Ekoran kejadian yang nyaris meragut nyawanya itu, Syed Shahrizam, 41, mengakui agak takut untuk mendekati pantai dan melihat keadaan botnya yang dinaikkan ke darat dengan bantuan nelayan lain.

Bot milik Syed Shahrizam yang terbalik di laut berjaya dinaikkan ke darat dengan bantuan rakan nelayan.

Walaupun masih trauma, namun Syed Shahrizam tidak serik untuk kembali turun ke laut untuk meneruskan pekerjaannya sebagai nelayan sejak dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Harapnya perasaan ini hanya sementara supaya dapat kembali ke laut mencari rezeki buat keluarga apabila keadaan mengizinkan.

"Bagaimanapun buat sementara waktu, saya akan berehat seketika supaya semangat kuat kembali selain terpaksa membaiki enjin bot dan peralatan menangkap ikan yang rosak.

Iklan

"Keadaan cuaca tidak menentu dan laut bergelora ketika ini juga tidak selamat untuk saya turun ke laut," katanya ketika ditemui di rumahnya pada petang Rabu.

Kejadian menimpa bapa kepada dua anak itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu yang datang menziarahinya hari yang sama.

Syed Shahrizam (kanan) menceritakan detik cemas dilalui kepada Andansura yang menziarahinya pada Rabu.

Iklan

Menceritakan kembali detik cemas dilalui, Syed Shahrizam berkata, dia turun ke laut bersendirian menggunakan bot gentian kaca berukuran 23 kaki untuk mengangkat pukat ketam yang ditahan dua hari sebelum itu.

"Mulanya berat hati juga namun setelah melihat kawan-kawan lain pergi, saya ambil keputusan turun ke laut walaupun keadaan bergelora.

"Saya turun kira-kira jam 9 pagi dan ketika dalam perjalanan, enjin tiba-tiba mati di lokasi kira-kira 200 meter dari muara Sungai Balok.

"Ketika saya cuba menghidupkan kembali enjin, tiba-tiba ombak besar datang dan terus menghempas bot hingga terbalik manakala saya tercampak ke laut," jelasnya.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas, namun dia sempat berpaut pada tong ikan sebelum dihanyutkan arus dan terapung di laut lebih satu jam menyebabkan kaki hampir kejang.

"Mujur ketika itu air laut sedang surut dan arus telah menolak saya menghampiri kawasan pantai berhampiran Kem Nemo yang letaknya kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Ketika itu saya melihat ada orang di pantai lalu melambaikan tangan minta bantuan sebelum diselamatkan," katanya yang pertama kali berdepan detik mencemaskan itu sepanjang bergelar nelayan.

Setelah kaki menjejak daratan, dia menarik nafas panjang dan memanjatkan rasa syukur kerana selamat dalam kejadian itu.

"Syukur umur masih panjang," ujarnya.