KUALA LUMPUR - Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) hari ini melaksanakan sistem pembayaran elektronik tanpa tunai sepenuhnya dengan permulaan pelaksanaannya di koridor Ampang yang melibatkan 64 buah bas.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata ia melibatkan 11 laluan yang mempunyai purata penumpang harian melebihi 30,000 orang.
"Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Rapid Bus bagi menggalakkan menumpang menggunakan transaksi tanpa tunai dan menikmati kos lebih murah.
"Pelaksanaan tanpa tunai ini juga mampu menjimatkan masa, kalau dahulu penumpang mengambil masa lebih enam puluh saat untuk melakukan transaksi, tapi kini hanya ambil masa lebih kurang satu saat sahaja,” katanya selepas meninjau pelaksanaan hari pertama tanpa sistem pembayaran tanpa tunai itu di sini hari ini.
Muhammad Yazurin berkata koridor lain seperti Cheras, Sungai Besi dan Jalan Klang Lama akan dilaksanakan sistem tanpa tunai sepenuhnya pada 29 April manakala koridor Damansara, Jalan Ipoh dan Jalan Pahang akan bermula 13 Mei manakala Lebuhraya Persekutuan pada 27 Mei ini.
Tambahnya, penumpang yang menggunakan kad tanpa tunai akan menikmati diskaun 20 peratus dari tambang normal manakala bagi pemegang kad konsesi pelajar, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) pula, mereka akan menikmati diskaun 50 peratus.
Beliau berkata bagi penumpang tempatan, pembelian kad tanpa tunai My50 dan My100 turut membolehkan akses kepada monorel, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan bas perantaraan MRT serta Bas Rapid Transit (BRT); dan kad-kad boleh dibeli di semua stesen sedia ada.
Sementara itu, pengguna tetap perkhidmatan bas S Kanaku Selleppan, 46, berkata pelaksanaan sistem tanpa tunai itu memudahkan perjalanan hariannya ke tempat kerja dan menjimatkan masa.
"Setiap hari saya menaiki bas melalui Jalan Ampang dan saya sangat gembira bila pelaksanaan ini dilakukan kerana ia memudahkan dan mesra pengguna," katanya. - Bernama