KUANTAN - Merancak ekonomi dengan menarik pelaburan baharu untuk melabur di negeri ini antara usaha yang akan dilaksanakan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.
Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya diamanahkan untuk memikul portfolio itu berpandangan banyak perkara yang boleh dilaksanakan untuk menjadikan Pahang sebagai gergasi ekonomi atau hub ekonomi yang berkembang maju di negara ini.
Menurutnya, keupayaan kerajaan negeri untuk menarik pelaburan luar dan dalam negara juga akan memberikan kesan positif kepada pendapatan dan tahap sosio ekonomi rakyat negeri ini.
"Matlamat saya membantu kerajaan negeri meningkatkan pendapatan rakyat dan kalau boleh kita hendak jadikan Pahang sebagai negeri berpendapatan tinggi supaya rakyat dapat menikmati tahap kehidupan lebih baik," katanya yang dipetik melalui temu bual bersama Pahang Media.
Mohamad Nizar berkata, bagi mencapai matlamat itu, keupayaan rakyat perlu ditingkatkan dengan kemahiran agar mereka ada tempat dalam industri melalui pelaburan yang bakal dibawa masuk ke negeri ini.
Mohamad Nizar yang dilantik dalam 10 barisan Exco Negeri Pahang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, 2 Disember lalu.
Beliau dalam pada itu berkata, portfolio Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi, satu tugas besar dan berat tanggungjawabnya.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana menaruh kepercayaan untuk memikul portfolio itu.
"Menjunjung kasih juga kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan saya dilantik dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang," katanya.
Tambah beliau, semangat dan kebolehan Menteri Besar dan kerajaan negeri yang menunjukkan teladan kepimpinan baik dalam pengurusan ekonomi dan kecekapan dalam pentadbiran menjadi inspirasi buatnya.
"Ia satu contoh untuk saya dan rakan Exco baharu dalam melaksanakan tugas diamanahkan ini," katanya.