PETALING JAYA - Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menambah baik undang-undang lapuk yang tidak menepati perkembangan dan peradaban termasuk kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketika ditemui selepas prosiding kes dadahnya di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, pelantun lagu Mimpi Laila itu berkata, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) pasti lebih memahami keadaan tersebut memandangkan beliau pernah berhadapan dengan undang-undang sebegitu.
"Beliau telah mengharungi perjuangan yang dahsyat namun dengan kuasa ALLAH, akhirnya dilantik menjadi pemimpin kita," ujarnya.
Susulan itu, Muhammad Yasin yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju T berwarna putih lengan panjang berkata, dengan izin Yang Maha Esa, dia akan diberi keadilan sewajarnya.
Sementara itu, Muhammad Yasin yang diwakili peguam, Ariff Azami Hussein berkata, pasukan pembelaan tetap optimis dengan representasi itu kerana ia berpaksikan kemanusiaan kesihatan akan diberi pertimbangan sewajarnya.
Dia yang juga diwakili peguam, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkata, representasi yang dihantar dua bulan lalu amat lengkap kerana ia merangkumi aspek kesihatan anak guamnya itu.
"Ia disokong laporan oleh pakar bersama tiga laporan lain, maka wajarlah ia diberi pertimbangan sebaik mungkin kerana keadilan tidak boleh dilengahkan, sebaliknya dilakukan sekarang," katanya.
Sementara itu, semasa prosiding, Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad menetapkan 11 Januari tahun depan untuk sebutan keputusan representasi yang dikemukakan Muhammad Yasin.
Ia selepas Ariff Azami memberitahu mahkamah, pihak pembelaan telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 23 September lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pasukan pendakwaan telah menghubungi pembelaan pada petang Rabu, menyatakan mereka memerlukan lebih masa, sebelum membuat pertimbangan berhubung representasi tersebut.
"Kami tidak keberatan sekiranya sebutan semula kes bagi keputusan representasi itu ditetapkan dalam masa tiga minggu," katanya.
Mengesahkan perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin berkata, pihaknya masih menunggu keputusan tersebut.
"Yang Arif, mohon satu tarikh sebutan baharu," katanya.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan selama 15 hari bermula 6 Mac 2023, yang mana seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.
Pada 6 Julai lalu, Muhammad Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, bernasib baik apabila tidak berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.
Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac lalu dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.
Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.