ALOR SETAR - Seorang bapa terkilan tidak sempat menyelamatkan anaknya yang terperangkap dalam insiden kereta dinaiki mereka sekeluarga terjatuh dalam sungai di Jalan Sungai Korok, Jitra pada Rabu.
Suhaimi Hassan, 36, berkata, dia ingin membantu anak sulungnya, Muhammad Khairil Muhaimin,12, yang masih berada di dalam kereta namun kenderaan terbabit makin terjunam ke dalam sungai.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan dari arah Tanjung Kapur menghala ke Pekan Jitra untuk membeli susu anak ketiganya sebelum kereta dinaiki terjatuh dalam sungai terbabit.
"Saya memandu seperti biasa namun kenderaan secara tiba-tiba gagal dikawal ketika kami tiba di lokasi kejadian lalu terjunam dalam sungai. Saya dan isteri, Nurul Aqmar Zainol, 35, yang hamil tujuh bulan anak keempat kami sempat menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap kenderaan.
"Sebelum terjunam, anak kami menjerit memanggil saya, abah berulang kali, namun dia tidak sempat keluar," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Khamis.
Suhaimi memberitahu, dia cuba menyelamatkan anak sulung yang terperangkap dalam kenderaan dengan terjun semula ke dalam sungai namun gagal.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata, arwah anak lelakinya yang merupakan pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payung ada menunjukkan perubahan pada malam sebelum kejadian.
Katanya, dia ada perasaan perubahan Muhammad Khairul yang lebih manja dan rapat dengannya berbanding sebelum ini.
"Biasanya, dia dengan ibu dia dalam segala urusan sekalipun,namun kali ini dia meminta kebenaran saya untuk ikut kami keluar rumah," katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, isterinya yang dimasukkan ke Hospital Jitra untuk pemeriksaan lanjut telah dibenarkan keluar namun masih terkejut dengan kejadian menimpa keluarga mereka.
Bagi Suhami, dia sedih namun reda dengan kehilangan insan tersayang dalam tempoh singkat yang menceriakan kehidupan mereka sekeluarga selama ini.
Jenazah Muhammad Khairil Muhaimin akan dibawa ke Tanjung Kapur di Jitra untuk dikebumikan selepas proses bedah siasat selesai.
Pada Rabu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan terperangkap dalam kereta dinaiki bersama ibu bapanya yang terjatuh dalam sungai di Jalan Sungai Korok, Jitra, di sini, sebelum ditemukan lemas.
Mayat Muhammad Khairil Muhaimin Mohd Suhaimi, 12, ditemui pada jam 4.10 petang, manakala ibunya, Nurul Aqmar Zainol, 34, dan bapanya, Suhaimi Hassan, 36, terselamat.
Lebih menyedihkan, tangisan Suhaimi turut mengiringi penemuan mayat anak lelakinya, namun ditenangkan ahli keluarga, orang ramai dan anggota bomba.