KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Doha, Qatar.
FAM menerusi hantaran dalam Facebook rasminya pada Khamis memaklumkan, Hamidin menghadap Al-Sultan Abdullah selaku peminat nombor satu sukan bola sepak pada Selasa lepas.
Iklan
Iklan
"Dalam sesi yang berlangsung selama 30 minit itu, Seri Paduka dan Hamidin turut menyentuh mengenai kepentingan hubungan dua hala Malaysia dengan negara luar, terutama negara ahli FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa),” menurut FAM.
FAM memberitahu Hamidin hadir ke Qatar atas jemputan Presiden FIFA, Gianni Infantino bagi menghadiri perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir Piala Dunia 2022.
Al-Sultan Abdullah kini berada di Doha atas persilaan peribadi Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani sempena Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
Menurut Istana Negara, dalam rangka lawatan khas selama enam hari bermula 13 Disember, Seri Paduka turut dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar. - Bernama