MELAKA - Ibu tunggal dan kekasihnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan mendedahkan bayi lelaki berusia dua tahun kepada bahaya sehingga maut.
R Vasanthi, 21, dan kekasihnya, L Indran, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak lelaki (kelahiran tidak didaftarkan) berusia dua tahun telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya.
Akibat itu mangsa mengalami kecederaan fizikal di bahagian dada, belakang badan dan kedua-dua belah kaki.
Perbuatan itu dilakukan antara jam 4 petang hingga 6 petang di Kampung India di sini pada 11 November tahun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Seksyen itu memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dipercayai, kanak-kanak berusia dua tahun itu telah didedahkan kepada bahaya sehingga menyebabkan dia terjatuh ke dalam kandang kambing ketika mangsa di bawah jagaan pasangan itu.
Pendakwaan terhadap Vasanthi dikendalikan Timbalan Pendakwa N Sivashangari mencadangkan jaminan RM20,000 kerana mangsa yang merupakan anak tertuduh telah meninggal dunia selepas dirawat di hospital.
Wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan sedang berpantang selepas melahirkan anak pada 10 November lalu dan hanya bergantung pendapatan teman lelaki yang bekerja sebagai pengembala kambing.
Darmafikri membenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 25 Januari depan sebagai serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sementara itu, pendakwaan terhadap Indrani yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM30,000 mengambil kira kesalahan dilakukan telah mengakibatkan kematian kanak-kanak itu.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 terhadap Indrani dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Januari depan.