Lelaki didenda RM3,100 baling air kencing ke rumah jiran

Iklan
Mohd Nazri (dua dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Majistret pada Khamis.

MELAKA - Tindakan seorang lelaki membaling bungkusan mengandungi air kencing dan bekas minyak hitam ke rumah jiran akhirnya berbalas selepas didenda RM3,100 setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.

Majistret Sharda Shienha Mohd membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Mohd Nazri Nazaruddin, 41 yang membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, dia telah berkelakuan menghina dengan cara melemparkan satu bungkusan cecair yang dipercayai mengandungi air kencing ke arah rumah milik Hashidah Hassan, 46, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanannya.

Kesalahan itu dilakukan di No 922-1, KM5 Bukit Baru, kira-kira jam 9 pagi pada 18 Oktober lalu.

Iklan

Pendakwaan itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan boleh dikenakan denda sehingga RM100 jika sabit kesalahan.

Mohd Nazri turut didapati melakukan khianat terhadap rumah sama dengan cara membaling satu bekas minyak hitam berniat menyebabkan kerosakan kepada harta dengan nilai RM150 iaitu melebihi RM25 pada jam 11.40 pagi 7 Disember lalu.

Iklan

Pendakwaan itu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira perbuatan dilakukan terhadap jirannya sendiri.

Tertuduh yang merupakan penganggur dan tidak diwakili peguam itu merayu hukuman setimpal dikenakan terhadap dirinya dengan alasan dia tidak sedar ketika melakukan perbuatan tersebut.

Mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM100 bagi kesalahan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 atau lima hari penjara jika gagal bayar.

Bagi kesalahan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, mahkamah turut mengarahkan tertuduh didenda RM3,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.