BANGKOK - Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) menyatakan tinjauan baru-baru ini mendedahkan majoriti besar responden mengunjungi negara tersebut kerana menggemari makanan tempatan.
Menurut Thai PBS World, sebanyak 91 peratus responden memilih makanan Thailand selain perkara kedua paling popular dilakukan mereka mendapatkan perkhidmatan mengurut atau spa tradisional.
Iklan
Iklan
Katanya, sebanyak 48 peratus memilih urutan kerana disifatkan perkara paling mustahak dilakukan setibanya di negara tersebut.
Perkara ketiga dipilih responden adalah mengunjungi tempat bersejarah dan kira-kira 46 peratus daripada mereka menyukainya kerana minat mendalam dengan adat resam dan budaya rakyat tempatan.
Seterusnya, responden melancong ke Thailand atas faktor mendapatkan perkhidmatan rawatan dan lima rawatan utama paling popular adalah tulang dan sendi, pemeriksaan perubatan, rawatan metabolik, jantung dan vaskular serta pergigian.
Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnviraku menyatakan bahawa selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, kementerian itu mengutamakan pelancongan perubatan untuk menjana pendapatan negara.
Bagaimanapun, TAT tidak mengeluarkan sebarang tinjauan terbaharu tentang bagaimana pengesahan ganja telah memberi kesan kepada penjanaan hasil pendapatan kepada negara tersebut. - Agensi