SAN FRANCISCO - [DIKEMAS KINI] Elon Musk dilaporkan menjual lagi 22 juta saham milik Tesla bernilai AS$3.58 bilion (RM16 bilion).
Pengawal selia kewangan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan proses jualan itu dilakukan selama tiga hari bermula Isnin lalu, sekali gus menjadikan jumlah saham yang dijual bilionair tersebut sejak tahun lalu mencecah hampir AS$40 bilion (RM176 bilion).
Pendedahan itu dibuat beberapa hari selepas Musk kehilangan kedudukannya sebagai individu terkaya di dunia.
Menurut laporan Forbes dan Bloomberg, Ketua Eksekutif Kumpulan Barangan Mewah utama dunia LVMH, Bernard Arnault kini merampas kedudukan Musk dengan nilai kekayaan berjumlah AS$188 bilion (RM829 bilion) berbanding kira-kira AS$178 bilion (RM785 bilion) yang dimiliki bos Twitter tersebut.
Difahamkan, sebab jualan terkini saham tersebut tidak didedahkan kepada umum walaupun beliau kekal sebagai pemegang terbesar dengan pegangan 13.4 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX itu turut mengumumkan telah menjual 19.5 juta saham Tesla bernilai AS$3.85 bilion (RM17 bilion), beberapa hari selepas beliau menyelesaikan pengambilalihan Twitter bernilai AS$44 bilion (RM194 bilion) pada Oktober lalu.
Difahamkan, Tesla adalah salah satu saham berprestasi paling teruk dalam syarikat utama pembuat kereta dan teknologi pada 2022.
Keadaan itu menyebabkan pelabur percaya pembelian Twitter sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian terhadap perniagaan kereta elektrik itu yang semakin merosot disebabkan permintaan yang perlahan selain terpaksa ditarik balik kerana siasatan dilancarkan berhubung masalah teknikal berkaitan ciri autopilot.
Di bawah satu lagi langkah tidak dijangka, Musk dikatakan mahu menjual perabot dari ibu pejabat Twitter di San Francisco selepas beliau berdepan siasatan kerana didakwa melanggar kod etika bangunan dengan menukar premis itu menjadi 'hotel'.
Sesi lelongan dalam talian melibatkan lebih 800 barangan termasuk logo biru Twitter, arca berbentuk '@', mesin kopi espreso dan peti sejuk itu akan bermula pada 17 Januari 2023.
Jualan tersebut bertujuan untuk 'membersihkan' lebihan aset pejabat korporat setelah separuh daripada kakitangan Twitter diberhentikan secara mengejut pada bulan lalu. - Agensi