Wai Ching buru pencapaian lebih tinggi

Iklan
Pelari menara nombor satu dunia Malaysia, Soh Wai Ching menunjukkan pingat dan trofi selepas sidang media 'Achievements of World Number One Tower Runner' hari ini. - Foto Bernama

PELARI menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching menyasarkan pencapaian lebih baik untuk 2023 dan tahun-tahun seterusnya, selepas meraih pelbagai kejayaan tahun ini dengan memenangi 19 daripada 20 perlumbaan yang disertainya.

Atlet berusia 28 tahun itu, yang mencapai kedudukan nombor satu dunia Mei lalu, berazam untuk mengekalkan pencapaian tersebut untuk 10 tahun lagi dan mencatatkan namanya dalam dua Rekod Dunia Guinness tahun depan.

Iklan
Iklan

Selain itu, Wai Ching yang juga presiden pengasas Persatuan Larian Menara Malaysia (MTA) turut berhasrat mempromosikan sukan itu di rantau ini bagi dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 yang akan dianjurkan Malaysia.

Beliau juga mahu mengurangkan jumlah pertandingan yang akan disertainya tahun hadapan kepada 10 hingga 15 acara sahaja bagi mengurangkan keletihan perjalanan sekali gus dapat beraksi lebih baik.

Iklan

Mengenai rancangan untuk memasukkan sukan itu ke dalam Sukan SEA, beliau berkata, MTA akan menubuhkan persatuan-persatuan negeri yang mantap terlebih dahulu dan kemudian membantu negara anggota Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) mengasaskan persatuan mereka.

"Kita mempunyai sekitar 4,000 hingga 5,000 pelari mengambil bahagian dalam acara larian menara di seluruh negara dan mempunyai acara larian menara di Sukan SEA akan membangunkan lagi sukan ini di rantau ini.

Iklan

"Buat masa ini, hanya Singapura mempunyai persatuan, manakala negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina mempunyai atlet dan pertandingan mereka sendiri, namun belum menubuhkan persatuan kebangsaan," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Minimum empat negara diperlukan untuk sesuatu sukan dipertandingkan dalam Sukan SEA.

Wai Ching sebelum ini mencatatkan rekod dunia bagi Pendakian Tangga Menegak Terhebat dalam Satu Jam - Lelaki dengan jarak 1.295 kilometer (km), bagaimanapun rekod itu dipecahkan atlet Sepanyol Christian Rodriguez dengan 1.457km bulan lepas.

Wai Ching berharap Kementerian Belia dan Sukan akan membantu beliau mencapai sasaran ditetapkan, terutama dalam mendapatkan kebenaran mencipta rekod baharu di Menara Berkembar Petronas.

Sementara itu, Presiden MTA Ravinder Singh berharap lebih banyak pencakar langit di Malaysia akan menganjurkan larian menara bagi menggalakkan gaya hidup sihat selain mempromosikan negara. - Bernama