Terpaksa curi air tadahan penduduk selepas LRA Ayer Ganda ditutup

Iklan
Badaruddin menunjukkan tong tadahan air yang dicuri mereka tidak bertanggungjawab.

GERIK - Terpaksa. Hanya itu boleh dikatakan mengenai kes kecurian air yang berlaku di Kampung Ganda Temengor selepas Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda ditutup sejak minggu lalu.

Biarpun marah apabila air tadahan dicuri, namun apa lagi yang mampu penduduk katakan selepas bekalan air tidak ada.

Iklan
Iklan

Ketika ini, air adalah paling berharga bagi mereka, kerana itu ia dijaga dengan sebaik-baiknya, namun ada juga yang mengambil kesempatan dengan mencurinya.

Sejak minggu lalu, penduduk sukar mendapatkan bekalan air menyebabkan ada yang terdesak dan sanggup mencuri air tadahan penduduk lain.

Iklan

Keadaan tersebut dilaporkan menimpa beberapa penduduk kampung yang mempunyai tadahan air di dalam tong di luar rumah untuk kegunaan mereka.

Badaruddin Che Wan Mohamad, 64, antara mangsa kehilangan dua tong air tadahan yang diisi oleh Lembaga Air Perak (LAP) di hadapan rumahnya.

Iklan

Tong tadahan air kosong dipercayai dicuri mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya kejadian itu berlaku dua hari berturut-turut sejak Sabtu lalu apabila dia ingin menggunakan air tadahan di dalam tong kosong.

"Kami penduduk sedia maklum, perlu sediakan tong serta bekas kosong di depan rumah untuk bekalan air bersih yang dihantar oleh LAP menggunakan tangki.

"Mula-mula tu, saya tak fikir sangat... saya rasa mungkin habis guna, tapi semalam sekali lagi tong air saya kosong," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ganda Temengor, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kampung Ayer Ganda terima bekalan air terawat

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran arsenik: LRA Sungai Ganda diarah tutup

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Ganda Temengor, Khairuddin Mohd Zaini berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada penduduk kampung sejak ketiadaan air akibat LRA dikampung mereka ditutup.

"Bukan saja kecurian air yang ditadah malah juga pengagihan bekalan air yang bercelaru hingga ada yang lambat terima air juga antara aduan yang dibuat.

"Ketika ini, saya hanya boleh minta mereka bersabar," katanya.

Penduduk meletakkan tong dan besen kosong di hadapan rumah untuk diisi lori tangki LAP yang lalu.Gambar kecil: Khairuddin

Khairuddin turut memaklumkan hasil perjumpaannya dengan penduduk kampung terdapat cadangan agar Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memberi arahan kepada LAP untuk membuka semula LRA Ayer Ganda yang ditutup.

"Mereka mencadangkan supaya air dari loji tersebut dilepaskan untuk kegunaan harian penduduk seperti membasuh dan mandi, tetapi untuk air minum mereka mencadangkan lori tangki.

"Tiga bulan tutup tempoh yang lama, lebih-lebih lagi nak puasa dan raya pasti ia lebih menggusarkan mereka semua. Kami harap cadangan ini dapat diberikan perhatian serius," katanya.

Terdahulu, pada April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari mengesahkan pencemaran arsenik berlaku di sungai berkenaan.

Namun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan pencemaran logam berat itu kurang daripada 0.01 miligram, iaitu rendah daripada piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sekali gus air terawat daripada LRA Sungai Ganda adalah selamat.

Susulan ke ini, Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mula mengesan pencemaran itu pada 8 Januari lalu, sebelum arahan dikeluarkan kepada LAP pada 14 Januari untuk menutup LRA berkenaan jika operator air negeri itu gagal mengatasinya.

Charles berkata, SPAN tetap memandang serius isu pencemaran berkenaan kerana lebih 1,500 penduduk Kampung Ayer Ganda sudah terdedah dengan keracunan arsenik sejak Januari lalu.

"Mereka memang sudah terdedah (dengan keracunan arsenik) kerana minum daripada air paip sama ada secara langsung atau tidak.

"Pencemaran ini juga memberi kesan pada ikan dan hidupan lain dalam Sungai Rui dan jika penduduk makan daripada sumber sungai itu, mereka terdedah kepada keracunan arsenik secara berganda,” katanya.

Mengakui pencemaran ini akan memberi kesan lebih buruk pada wanita hamil, Charles berkata, kewujudan arsenik itu berpunca daripada lombong lama yang mengeluarkan bahan beracun itu, sama ada kerana tidak diselenggara dengan baik atau kejadian semula jadi.

"Bagi SPAN, semula jadi atau tidak bukan isu, kerana keutamaan kami ada memastikan rakyat mendapat air bersih dan selamat untuk diminum,” katanya.