PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dijangka mengumumkan berita gembira berkaitan telekomunikasi menjelang Krismas ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, caj internet dan rangkaian perkhidmatan telekomunikasi sering menjadi isu yang dibangkitkan rakyat.
"Kita tidak hanya mahukan ia hanya sekadar murah tetapi juga perkhidmatan telekomunikasi yang baik," katanya menerusi sidang akhbar sempena Majlis Amanat Menteri KKD di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pengumuman tersebut dijangka membantu golongan B40 dan M40 dalam menghadapi kos sara hidup.
"Kalau boleh sebelum Krismas kita nak umum beberapa perkara dan usahakan agar ramai yang mendapat manfaat ini," katanya.
Dalam pada itu Fahmi turut mengumumkan kementerian akan melakukan audit keselamatan data peribadi bagi memastikan ia tidak dicuri atau dibocorkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Data adalah khazanah negara dan ia perlu dijamin selamat. Bagaimana untuk pastikan? Inilah tugas kita.
"Selepas ini saya tidak mahu ada berlaku kebocoran data oleh mana-mana jabatan," tegasnya.
Menurut beliau, sepasukan Jabatan Pelindungan Data Peribadi (JPDP) dan Cyber Security Malaysia (CSM) telah melakukan pemeriksaan di Air Asia Aviation Group Limited (AAAGL) pada Khamis berhubung isu pencerobohan data pelanggan.
"Pasukan tersebut sedang melakukan proses dokumentasi untuk mendapatkan bukti-bukti dan ia diteruskan pada hari ini," katanya.
Tambah Fahmi, sewaktu beliau berkhidmat sebagai ahli Parlimen pada penggal ke-14, setiap hari terdapat sekitar 50 hingga 60 orang menjadi mangsa scammer dengan jumlah purata sehingga RM500,000 setahun.
"Ia adalah simpanan rakyat. Maka saya harap kita dapat bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengurangkan serta menyekat aktiviti scammer ini," katanya.
Fahmi turut menyarankan orang ramai yang menjadi mangsa menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh 24 jam.
"Jangan malu hubungi NSRC kerana pihak Bank Negara boleh menghentikan aliran keluar dari bank," katanya.