SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Seramai 13 mangsa disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali setakat jam 11 pagi Jumaat.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, mangsa-mangsa terkorban dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Setakat ini ada mangsa terkorban telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
"Kita juga koordinasi dengan HKL untuk menghantar mangsa korban ke sana kerana masih ada mayat di lokasi," katanya pada sidang media ketika melakukan lawatan di Hospital Selayang di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian tanah runtuh itu, lebih 70 mangsa yang berada di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Genting Highland, Pahang dikhuatiri terlibat.
Pasukan penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Seramai 37 mangsa dilapor berjaya diselamatkan dalam operasi menyelamat berkenaan.