KOTA KINABALU - Empat pemancing yang terkandas selepas bot yang dinaiki terbalik berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah di perairan Pulau Manukan, pada Khamis.
Dalam kejadian itu, Azmain Nulhassan dan Al Asim Nasir masing-masing berusia 23 tahun dan dua lagi rakan mereka, Mohammad Fikhri Amri dan Muhammad Aqil Abu Bakar berusia 22 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.20 pagi.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, bot peronda Penggalang 21 dari Maritim telah diatur gerak ke lokasi dan menurut pengadu yang juga mangsa bersama tiga rakannya sedang melakukan aktiviti memancing di kawasan berkenaan.
"Bagaimanapun, bot mereka mengalami kebocoran selepas terlanggar batu dan mereka terpaksa berpaut pada batu di pesisir laut berkenaan sebelum diselamatkan Maritim," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, semua mangsa dibawa ke jeti Jesselton Point, Kota Kinabalu untuk bantuan rawatan berikutan kecederaan ringan yang dialami mereka.
Mohd Rosli dalam pada itu menasihatkan orang ramai yang melakukan aktiviti di laut supaya sentiasa menjaga keselamatan masing-masing dan peka dengan keadaan cuaca semasa.
"Pastikan bot dalam keadaan baik, pakai alat keselamatan dan bawa alat pengesan lokasi (PLB) selain maklumkan kepada keluarga atau sahabat yang lain lokasi dan tujuan berada di laut," katanya.