SHAH ALAM - Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan awam berhampiran Father’s Organic Farm, Batang Kali berlaku pada cerun buatan atau tambakan jalan di kawasan bukit batuan granit.
Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, air permukaan yang banyak meresap ke dalam cerun semasa musim hujan sering menyebabkan kegagalan cerun.
Menurutnya, dalam keadaan biasa, air hujan akan masuk ke dalam tanah tambak, menyebabkan tanah ‘tepu air’ dan faktor kestabilan menurun.
"Berdasarkan maklumat sedia ada, banyak kejadian tanah runtuh berlaku di cerun tambakan sepanjang jalan raya di kawasan perbukitan atau pergunungan di Malaysia.
"Kebanyakan kejadian menyebabkan kerosakan jalan, ada jalan yang terputus atau separuh runtuh.
"Lazimnya kejadian terdahulu tidak menyebabkan kematian kerana tiada penghuni di kaki tanah runtuh sepanjang jalan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata, kejadian tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali disifatkan malang kerana ‘kebetulan’ terdapat kawasan perkhemahan sekitar 100 meter (m) di bawah tanah runtuh (30m di bawah paras jalan).
Ujarnya, ketika kejadian terdapat 94 orang yang sedang tidur di dalam kemah di kawasan berkenaan.
"Tanah runtuh diikuti dengan ‘aliran tanah’ menyebabkan kawasan perkhemahan tertimbus dengan tanah runtuh tersebut.
"Bencana ini berlaku pada cerun buatan (cerun tambakan dan pembersihan ladang) dan bukannya pada cerun tabii,” jelas beliau.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.24 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Setakat jam 1 tengah hari, seramai 16 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku sekitar jam 3 pagi itu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, mangsa-mangsa terkorban dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).