KDN sedia bincang, beri maklumat berkaitan SOSMA

Iklan
Shamsul Anuar Nasarah menjawab pertanyaan pemberita pada sambutan ulang tahun pertama Festival Lenggong Geopark di Laman Budaya pada Jumaat. - Foto: Bernama
LENGGONG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberikan maklumat berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perbincangan itu juga antara lain bagi membolehkan tidak berlakunya salah faham berkaitan undang-undang yang ada di negara ini termasuk SOSMA.

"Mereka mungkin tidak dapat maklumat tepat. Jadi kami boleh kongsi maklumat,” kata Ahli Parlimen Lenggong itu selepas merasmikan Festival Lenggong GeoPark di Laman Budaya Lenggong hari ini.

Jelasnya, apa sahaja undang-undang dibuat, adalah demi kepentingan rakyat dan negara ini.

Pada Khamis, Naib Presiden Muda, Zaidel Baharudin berkata, kerajaan patut menyemak semula SOSMA dan tampil dengan undang-undang baharu yang lebih bagus.