BATANG KALI - Kesukaran mendapatkan akses capaian internet menjadi cabaran utama kepada pengamal media yang membuat liputan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm dekat sini.
Keadaan ini memaksa sesetengah wartawan berjalan kaki sehingga sejauh satu kilometer dari pusat media yang disediakan bagi mendapatkan akses internet untuk menghantar bahan berita ke pejabat masing-masing.
Malah, beberapa wartawan juga dilihat mencari alternatif lain dengan memanjat kenderaan pasukan keselamatan semata-mata untuk mendapatkan akses internet yang lebih stabil bagi menghantar laporan.
Capaian internet yang lemah juga menyebabkan jurufoto dan jurukamera terpaksa turun ke pekan Ulu Yam yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari pusat media untuk menghantar gambar dan visual untuk disiarkan agensi masing-masing.
Wartawan Bernama, Mohd Firdaus Mohd Saisi ketika berkongsi keadaan itu berkata cabaran tersebut adalah perkara biasa kepada pengamal media yang ditugaskan membuat liputan di kawasan bencana.
"Pada saya, ini adalah asam garam buat seorang wartawan yang bertugas di lapangan,” katanya.
Mohd Firdaus merupakan antara puluhan pengamal media yang ‘berkampung’ di sini bagi membuat liputan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm yang berlaku awal pagi tadi.
Sehingga 1 tengah hari tadi, tragedi tersebut dilapor telah meragut 16 nyawa dengan 17 lagi masih hilang. Maklumat awal polis menyatakan terdapat 100 orang berada di tapak perkhemahan yang berkemungkinan menjadi mangsa dalam tragedi terbabit. - Bernama