BATANG KALI - [DIKEMAS KINI] Dua lagi mayat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father Organic Farm, Jalan Genting, di sini ditemui pada Jumaat.
Mayat mangsa ke 17 dan 18 itu ditemui pada jam 4.40 petang di Sektor C (Riverside) dalam keadaan berpelukan dipercayai pasangan ibu dan anak perempuan berusia lingkungan tiga tahun.
Mayat kedua-dua mangsa dipercayai berada di antara Sektor A atau B semasa kejadian berlaku namun dibawa arus tanah ketika kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, penemuan mayat dua beranak itu menjadikan baki keseluruhan mangsa yang sedang dikesan adalah seramai 15 orang.
"Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dihentikan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan," katanya.