HULU SELANGOR - Beberapa mayat mangsa ditemui berpelukan dalam kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Jalan Genting Highlands-Batang Kali di sini pada Jumaat.
Seorang pegawai bomba yang menyertai operasi dan menyelamat (SAR) enggan mendedahkan nama memberitahu, operasi disertainya jam 6 pagi itu menemui beberapa mayat yang telah tertimbus.
"Saya sendiri yang menjalankan penugasan dan pemantauan di sini berasa pilu apabila melihat mayat keluarga berpelukan antara satu sama lain.
"Paling meruntun hati apabila melihat seorang ibu berpelukan dengan dua anaknya yang tertimbus di dalam tanah," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.
"Ini adalah sebahagian daripada kejadian bencana buruk yang berlaku di negara ini sepanjang saya terlibat dalam operasi SAR," kata beliau.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, bomba berdepan kesukaran untuk membawa keluar 19 mangsa maut dalam kejadian berkenaan.
Ujar beliau, kesukaran itu disebabkan mangsa berada di bawah runtuhan tanah pada kedalaman kira-kira empat meter.
Jelas beliau, pasukannya menggunakan unit anjing pengesan untuk menjejaki kesemua mangsa.
"Kemungkinan kedudukan mangsa dari tapak perkhemahan mereka ke lokasi ditemui kira-kira 50 hingga 100 meter," katanya.
Norazam berkata, pihaknya juga mendapati berlaku sedikit runtuhan di tempat bermulanya runtuhan sekitar jam 7 pagi hingga 9 pagi.
"Bagaimanapun, keadaan stabil dan terkawal sehingga petang ini, namun kita masih berwaspada kerana ada aliran air sungai yang keluar dari runtuhan," kata beliau.
Beliau memberitahu, pihaknya turut memastikan keadaan di lokasi selamat bagi tujuan SAR.
"Kita juga melihat pergerakan tanah, sekiranya tidak selamat kita akan menarik semula pasukan penyelamat dari lokasi kejadian," katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah berbincang dengan agensi berkaitan dan membuat keputusan untuk meneruskan operasi SAR selama 24 jam.
"Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan cuaca. Jika hujan, kita akan hentikan serta-merta.
"Setakat ini, anggota penyelamat telah disusun dan ada sesi ganti sehingga keesokan hari," kata beliau.