SHAH ALAM - Selangor menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) untuk rekod 'Penyertaan Peserta Teramai Dalam Latihan Keselamatan Rumah Kebajikan' atau 'Most Participants In Welfare Home Safety Training' pada Jumaat.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin negeri, V Ganabatirau berkata, cubaan memecah rekod ini julung kali dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor di bawah portfolio yang disandang beliau.
Menurutnya, rekod berkenaan disahkan MBOR sempena Program Sinergi Prihatin: Cubaan Memecah Rekod 'Most Participants In Welfare Home Safety Training' berjaya dilaksanakan di Selangor dengan melibatkan seramai 281 peserta.
"Program hari ini dilaksanakan dengan mengadakan taklimat dan latihan keselamatan di rumah-rumah kebajikan di Selangor dan seperti kita semua maklum rumah-rumah kebajikan menguruskan bilangan penghuni yang ramai.
"Sehubungan itu, taklimat dan latihan keselamatan adalah perlu bagi memastikan penghuni dan penjaga rumah kebajikan terbabit dapat bersiap sedia dengan sebarang kebarangkalian.
"Latihan atau praktikal adalah aspek yang penting kerana penerangan semata-mata tidak akan dapat memberikan gambaran yang jelas tentang keadaan yang akan dilalui jika berlaku kecemasan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Cubaan Memecah Rekod 'Most Participants In Welfare Home Safety Training' MBOR di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengurus MBOR, Lee Pooi Leng, Pengerusi Persatuan Cakna Anak Malaysia, Muhammad Shukri Nor Mokles, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kids Kampus dan Timbalan Pengarah Seksyen Sektoral UPEN, Norliza Yusoff.
Dalam pada itu, Ganabatirau berkata, cubaan memecah rekod MBOR itu adalah sebagai memberikan pengiktirafan kepada semua pihak dalam menjayakan program berkenaan sehingga berjaya memecahkan rekod.
"Kita juga berharap program ini memberikan manfaat yang besar kepada rumah-rumah kebajikan yang terlibat dalam program ini sekaligus mereka akan lebih bersiap sedia untuk menghadapi sebarang keberangkalian di masa depan," katanya.