HULU SELANGOR -"Saya segera tarik rakan yang dihempap kayu rumah selepas kediaman kami roboh akibat tanah runtuh."
Itu detik cemas yang diceritakan seorang pekerja ladang warga Myanmar berhampiran kawasan tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini pada Jumaat.
Dikenali sebagai Kung Thang, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi dan kami semua sedang tidur masing-masing di tiga rumah di sini.
"Tiba-tiba berlaku tanah runtuh yang terus menggelongsor dan menghempap rumah kami.
"Seorang rakan saya cedera selepas kayu rumah menghempap kakinya. Kami segera bantu mengalihkan kayu. Situasi berlaku sangat pantas dan semua jerit melarikan diri ke tempat selamat," katanya ketika ditemui selepas mendapatkan rawatan sementara di Balai Polis Hulu Yam Bharu di sini pada Jumaat.
Tambahnya, dia dan 13 pekerja lain terselamat dalam tragedi itu.
Ketika ditanya situasi pengunjung di lokasi perkhemahan, katanya, dia tidak mengetahui keadaan mangsa yang lain.
"Ini kerana rumah kami berada di kawasan lain.
"Ini kejadian pertama kali berlaku sejak dua tahun saya bekerja di sini," ujarnya.