Lantikan politik harus berdasarkan kepakaran, pengalaman

Iklan
Dr Tricia Yeoh

KUALA LUMPUR - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berharap pelantikan baharu dalam ahli lembaga pengarah semua badan berkanun persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dibuat oleh kerajaan sekarang adalah berdasarkan kepakaran, kemahiran dan pengalaman dan bukannya parti politik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, pelantikan berdasarkan parti politik akan menjejaskan integriti.

Iklan
Iklan

"Selain itu terdapat risiko wujudnya konflik kepentingan apabila calon dilantik berdasarkan parti politik akan mengutamakan program yang mempunyai kepentingan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, IDEAS menyambut baik keputusan kerajaan untuk menamatkan semua pelantikan politik dalam lembaga pengarah semua badan berkanun persekutuan dan GLC termasuk yang berada di bawah Kementerian Kewangan (Diperbadankan).

Iklan

"Undang-undang badan berkanun sudah mengenal pasti entiti dan individu yang sepatutnya melantik pengerusi dan ahli lembaga. Sehubungan itu, peruntukan ini harus dihormati dan dipatuhi, bagi GLC pula, kuasa pelantikan perlu diberikan kepada entiti kerajaan yang memilikinya atau jawatankuasa pencalonan lembaga pengarah itu," katanya.

Melangkah ke hadapan, IDEAS menggesa kerajaan mengeluarkan garis panduan dalam menetapkan kriteria pengerusi dan ahli lembaga pengarah bagi melengkapkan ketiadaan kriteria pelantikan di peringkat badan berkanun.

Iklan

Bagi GLC, beliau berkata, Buku Hijau untuk memperkukuhkan keberkesanan Lembaga Pengarah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi pada tahun 2006 boleh menjadi rujukan untuk pelantikan ahli lembaga pengarah GLC.

Selain itu, Tricia berkat,a kriteria penilaian pengarah individu dan ahli lembaga secara kolektif harus telus, disesuaikan dengan keperluan syarikat.

"Usaha sebegini perlu disertakan dengan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang boleh meneliti dan memantau laporan tahunan badan berkanun dengan lebih kerap,” katanya.

IDEAS akan terus memantau pelantikan dalam badan berkanun persekutuan dan GLC terpilih dalam kerajaan semasa dan orang ramai boleh melihat penemuan itu di laman web https://www.pantaukuasa.com. - Bernama