Tanah runtuh: Pemimpin Singapura zahir ucapan takziah

Iklan
Hsien Loong

SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengucapkan takziah dan bersimpati kepada semua mangsa yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Genting Highlands pada Jumaat.

Hsien Loong turut berdukacita dengan kejadian itu yang mengakibatkan kehilangan nyawa selain ramai cedera.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian dalam perutusan takziah kepada rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagi pihak Kerajaan Singapura, saya ingin menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada semua yang terjejas akibat tanah runtuh itu dan kami berharap mereka yang cedera segera pulih,” kata beliau.

Iklan

Dalam insiden itu, 21 orang disahkan maut setakat 7.10 malam.

"Pasukan Pertahanan Awam Singapura bersedia untuk membantu usaha mencari dan menyelamat jika perlu,” kata beliau.

Iklan

Menteri Luar Negeri republik itu, Dr Vivian Balakrishnan turut mengutus perutusan takziah kepada rakan sejawatannya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

"Saya sedih mengetahui kejadian tanah runtuh Genting Highlands yang mengakibatkan beberapa kematian dan banyak yang cedera.

"Saya ingin menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka dan terima kasih kepada Malaysia kerana membantu rakyat Singapura yang terjejas akibat tanah runtuh," kata beliau.

Sementara itu, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA) republik itu, kerajaan Singapura memantau rapat keadaan itu.

"Tiga warga Singapura adalah antara yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Malaysia. Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur sedang berhubung dengan tiga warga Singapura itu,” kata jurucakap kementerian.

Kementerian juga telah menghubungi mereka yang berdaftar dengan MFA.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru atau Pejabat Bertugas MFA di:

Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Kuala Lumpur: Tel: +60-3-2161-6277 semasa waktu pejabat, atau talian hotline 24 jam +60-16-661-0400 untuk kecemasan selepas waktu pejabat Konsulat Jeneral Republik Singapura di Johor Bahru: Tel: +60-7-226-5012 semasa waktu pejabat, atau talian hotline 24 jam +60-19-791-1166 untuk kecemasan selepas waktu pejabat Pejabat Kementerian Luar Negeri (24 jam) Tel: +65 6379 8800 / +65 6379 8855. - Bernama