KURANG dua tahun lalu, Antoine Griezmann terumbang-ambing dalam La Liga selepas berdepan masa depan sukar di Barcelona sebelum kembali ke Atletico Madrid.
Namun pada Ahad ini, dia boleh mengaku pemain terhebat Perancis apabila berdepan Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia.
Biarpun Kylian Mbappe akan bergelar juara dunia berganda jika Les Bleus menewaskan Argentina pada perlawanan akhir di Stadium Lusail, sekali gus boleh memenangi Kasut Emas Qatar 2022, Griezmann tetap pencetus kejayaan Perancis sejak Didier Deschamps mengambil alih 2012.
Dia bermain dalam rekod 73 perlawanan berturut-turut untuk Perancis membawa Le Bleus ke final Euro 2016 dan menjadi pemain terbaik perlawanan akhir Piala Dunia 2018.
Tahun ini dia dengan tenang berubah peranan ke bahagian tengah apabila menjadikan bahagian itu lebih berkesan.
Malah penyerang yang merupakan penjaring terbanyak Euro 2016 itu juga merupakan pemenang but perak selaku penjaring kedua terbanyak di Piala Dunia 2018.
Griezmann berjaya menyesuaikan peranannya selepas Deschamps terpaksa mengemaskini semula bahagian tengahnya setelah ketiadaan Ngolo Kante, Paul Pogba dan Karim Benzema.
Namun tidak wujud perasaan merajuk daripada Griezmann yang kini semakin selesa dengan peranan baharunya - tipu muslihat, kerajinan dan ketenangannya menjadikannya pemain yang sempurna untuk menimbulkan masalah buat lawan.
"Kesihatan fizikal banyak membantu saya. Tiada masalah dalam kehidupan peribadi saya.
"Cuma sebelum ini dalam kepala saya pernah mengimbau detik-detik sukar di Barca sebelum kembali ke Atletico tahun lalu.
"Ia adalah rumit, saya perlu menjadikan diri sangat kecil, saya perlu mencari diri sendiri dalam dan luar padang,” kata Griezmann.