Capaian internet lemah, telco diarah cari alternatif

Iklan
Empat syarikat utama telekomunikasi negara telah diarah untuk ke lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Batang Kali bagi meninjau masalah capaian Internet yang lemah. - Foto Bernama
BATANG KALI - Empat syarikat utama telekomunikasi negara telah diarah untuk ke lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di sini bagi meninjau masalah capaian Internet yang lemah dan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasinya.

Menurut Jurucakap Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta empat syarikat telekomunikasi negara iaitu Maxis, Digi, Celcom dan UMobile telah turun meninjau lokasi kejadian pada 2 petang tadi untuk memasang parabola masing-masing.

"Bagaimanapun, memandangkan kawasan yang sangat terhad, ia menyukarkan mereka untuk mendapatkan tempat bagi pemasangan antena," katanya kepada Bernama malam Jumaat.

Beliau berkata, hasil perbincangan, hanya Maxis akan memasang parabola terlebih dahulu sebelum Pusat Media JaPen berkongsi sambungan Wi-Fi kepada semua pengamal media yang berkampung di lokasi kejadian sejak pagi tadi.

Puluhan pengamal media yang membuat liputan tragedi itu berdepan masalah mendapatkan akses capaian Internet bagi melaporkan perkembangan terkini berhubung insiden tersebut.

Keadaan itu memaksa beberapa wartawan berjalan kaki sejauh satu kilometer dari pusat media yang disediakan JaPen untuk mendapatkan akses Internet untuk menghantar laporan ke pejabat masing-masing.

Selain itu, pemerhatian Bernama mendapati ada segelintir pengamal media terpaksa menumpang motosikal dan kenderaan pacuan empat roda petugas keselamatan untuk ke tempat tinggi bagi mendapatkan capaian Internet.

Setakat 8 malam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan 21 mayat telah dijumpai, 12 masih hilang manakala 61 lagi mangsa berjaya diselamatkan.

Insiden tanah runtuh melibatkan Father’s Organic Farm pada 2.42 pagi itu memerangkap seramai 94 individu termasuk pekerja tapak perkhemahan berkenaan. - Bernama