SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dicadangkan untuk menambah rawatan secara rohani bagi pesakit yang menghidapi HIV selain hanya bergantung kepada memberikan ubat.
Gender Dysphoria Flagship Leader, Kuliah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa, Professor Dr Samsul Draman berkata, ini kerana kaedah itu juga merupakan langkah penting dalam merawat HIV.
"Saya ucapkan tahniah kepada KKM. Mereka buat yang terbaik. Namun, kita cuma kena tambah sedikit spiritual input. Ini yang kita selalu tertinggal. Spiritual input ini penting.
"Contohnya, apabila pesakit datang, kita kena tanya, kamu solat macam mana? Persiapan untuk meninggal macam mana? Komponen ini kena ada. Masalah hari ini, kita tidak sempat masukkan komponen ini.
"Kita asyik tanya ubat macam mana? Ada masalah ini atau itu ke? Kita kena sama-sama tekankan. Walaupun ada yang kata ini agak menghakimi, tapi sebenarnya inilah ubatnya,” katanya semasa program Di Sebalik Isu bersama FY yang bertajuk PrEP Buat Komuniti Songsang Lega @ Bencana? Yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panelis, Profesor dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga, UITM, Profesor Dr Anis Safura Ramli, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM, Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi dan Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman manakala Finaz Yunus bertindak sebagai moderator.
Jelas beliau, rawatan perlu diselitkan kaedah rohaniah memandangkan penyakit tersebut bermula dari hati iaitu nafsu syahwat seseorang.
"Kalau gunakan ubat tidak salah. Apa yang kita rawat hari ini adalah pokok, tetapi kita lupa akar umbi pokok ini. Akar umbi perlu dirawat sama. Akar umbi itu yg membuatkan mereka sentiasa ada nafsu untuk melakukannya.
"Jadi, kami berusaha sedaya upaya untuk mereka tidak dapat HIV dengan tekankan masalah hati ini. Salah satu cara saya lakukan adalah mengajar semula solat, belajar baca al-Quran. Kalau ada perubahan, kita ajak mengerjakan umrah dan haji,” ujarnya.
Projek rintis penggunaan ubat PrEP bermula 1 Januari depan
Kerajaan akan melakukan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) bermula pada 1 Januari 2023 di 18 klinik kesihatan terpilih yang melibatkan 11 negeri.
Profesor dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga, UITM, Profesor Dr Anis Safura Ramli berkata, program secara percuma itu berlangsung selama 18 bulan iaitu sehingga 1 Mei 2024.
"Melalui dokumen dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), golongan yang disasarkan adalah termasuk semua golongan yang berisiko tinggi mendapat HIV termasuk LGBT, menjalani hubungan seks tanpa kondom.
"Selain itu, mereka yang menjalani hubungan seks dengan lebih seorang pasangan yang tidak diketahui status HIV selain mereka yang mempunyai pasangan seks lebih dari satu faktor risiko HIV," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Anis berkata, program perintis yang dibiayai oleh dana global itu telah melibatkan seramai 5,000 orang golongan sasaran.
"Tetapi selepas projek ini habis adakah wang rakyat Malaysia akan digunakan untuk membiayai ubat PrEP ini? Itu persoalannya.
"Kalau kita tahu, kos rawatan ini. Ubat itu sendiri berharga lebih kurang RM50 hingga RM350 sekiranya individu ini membeli di fasiliti swasta. Ini harga untuk setiap bulan. Jadi kita boleh bayangkan berapa kos dia yang sebenarnya,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut meminta agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan tersebut memandangkan klinik-klinik kesihatan dibanjiri oleh pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan.
"Dan bila bagi ubat secara percuma, kita perlu fikirkan mengenai kos rawatan susulan. Ubat ini perlu diambil setiap hari dan sebelum doktor boleh beri ubat ini kepada pesakit, pesakit ini perlu menjalankan pelbagai saringan dahulu.
"Jadi, semua ini kos. Dan setelah beri ubat, pesakit perlu datang rawatan susulan sepanjang mereka ambil ubat ini setiap hari,” katanya.