'Ini bukan soal melarang sebaliknya menghormati peraturan'

Iklan
Gianni Infantino FOTO: AFP

PIALA Dunia Qatar 2022 menyisihkan mesej politik daripada bola sepak supaya para penyokong dapat menikmati keseronokan dan kegembiraan dalam kejuaraan bola sepak berprestij dunia tersebut.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino, bercakap dua hari sebelum perlawanan akhir antara Argentina dan Perancis, mempertahankan keputusan FIFA untuk tidak membenarkan pasukan mempamerkan sebarang mesej pada jersi atau lilitan kapten pasukan.

Iklan
Iklan

"Di padang permainan kami bermain bola sepak...

"Anda perlu menghormati permainan dan ini bukan perkara baharu," katanya pada sidang akhbar.

Iklan

Piala Dunia Qatar 2022 sebelum ini membawa kepada pelbagai perbincangan politik, dengan beberapa pasukan menyuarakan kebimbangan mengenai layanan tuan rumah terhadap buruh migran dan ancaman FIFA menghukum pemain kerana kenyataan politik.

Persekutuan Bola Sepak Jerman adalah antara yang paling lantang mendesak agar lilitan lengan anti-diskriminasi dipakai para pemain.

Iklan

Skuad Jerman bergambar sebelum perlawanan menentang Jepun dengan tangan menutup mulut, membayangkan pasukan itu didiamkan oleh FIFA.

"Mungkin setiap orang mempunyai masalah sendiri. Mereka (peminat) hanya mahu menghabiskan 90 minit atau 100 minit atau 120 minit dengan penalti tanpa perlu memikirkan perkara lain. Hanya menikmati sedikit keseronokan dan kegembiraan, emosi.

"Kami perlu memberi mereka masa untuk melupakan masalah dan menikmati bola sepak. Di luar perlawanan semua orang boleh menyatakan pandangan dan pendapat mereka," kata Infantino

Infantino juga menyifatkan Qatar 2022 merupakan Piala Dunia terbaik pernah dianjurkan penganjur apabila Qatar menunjukkan kekuatan padu.

Qatar dilaporkan melabur $200 bilion dalam kejohanan itu, namun selepas dua minggu menerima lebih 765,000 pengunjung.

Ini meleset daripada jangkaan untuk jumlah kemasukan sebanyak 1.2 juta semasa kejuaraan selama sebulan itu dengan lonjakan pelawat tidak menjadi kenyataan pada separuh kedua kejohanan, yang menyaksikan tempat duduk kosong di hampir setiap perlawanan.

Infantino berkata, secara keseluruhan kejohanan itu, yang berakhir dengan perlawanan akhir pada Ahad, setakat ini berjaya, menarik seramai 1.7 juta orang di zon peminat, dengan kira-kira 80,000 peminat menghadiri kawasan tersebut setiap hari.

Purata kehadiran juga berjumlah 52,000 setiap perlawanan, kira-kira 5,000 lebih penonton berbanding Piala Dunia 2018 di Rusia.

Secara keseluruhan, Infantino berkata, kira-kira 3.27 juta penonton - domestik dan antarabangsa - direkodkan dengan dua perlawanan masih berbaki.

Jumlah keseluruhan kejohanan pada edisi Rusia 2018 ialah 3.03 juta.

"Ia sangat, sangat berjaya, tetapi terdapat dua perlawanan lagi.

"Fokus sehingga akhir dan kemudian kami sudah tentu akan mengesahkan perasaan ini yang kami ada sekarang," katanya.