BEKAS pengurus Serbia dan tokoh ikonik Serie A 1990-an, Sinisa Mihajlovic meninggal dunia pada usia 53 tahun.
Mihajlovic sebelum ini merupakan pengendali Bologna, yang juga penampilan keduanya bersama kelab itu selepas menghabiskan lebih tiga setengah tahun di sana walaupun disahkan menghidap leukemia pada 2019.
Mihajlovic kekal bersama The Greyhounds sepanjang berjuang mengharungi kanser dan menjalani pemindahan sumsum tulang pada tahun sama, yang membolehkannya melalui proses pemulihan.
Namun pada awal tahun ini Mihajlovic mendedahkan bahawa dia berdepan 'risiko kemunculan semula penyakit itu' dan akan cuba menyembuhkannya dengan rawatan.
Bagaimanapun Mihajlovic akhirnya tewas pada Jumaat apabila bekas kelab Red Star Belgrade mengesahkan kematiannya.
"Red Star Belgrade dengan penuh dukacita memaklumkan bahawa legenda Sinisa Mihajlovic telah meninggalkan kami hari ini...
"Seorang bintang hebat dan seorang lelaki yang mempunyai jiwa dan kekuatan luar biasa, meninggal dunia pada usia 53 tahun.
"Red Star Belgrade merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mihajlovic,” tulis akaun Twitter kelab itu.
Pemain pertahanan berkaki kiri itu terkenal pada era kegemilangan dengan ketajaman sepakan percuma.
Tiada pemain dalam sejarah Serie A yang menjaringkan lebih banyak sepakan percuma terus daripada Mihajlović.
Sebanyak 28 daripada 38 golnya dalam liga utama Itali dijaringkan dengan cara sepakan itu.
Semasa berkhidmat sebagai pengurus, dia terkenal kerana sering berselisih pandangan dengan pemain dan kakitangan pentadbiran kelab.
Detik paling diingatinya adalah bersama Lazio dan Sampdoria, selain berkhidmat dengan AS Roma dan Inter Milan di Itali, serta Red Star dan Vojvodina FK di negara asalnya.
Di peringkat antarabangsa, Mihajlovic bermain 63 kali untuk Yugoslavia kemudian Serbia dan Montenegro, menjaringkan 10 gol.
Bidang pengurusan pula menyaksikan dia bersama kelab Itali - Bologna, Catania, Fiorentina, Sampdoria, AC Milan serta Torino antara 2008 dan 2018.
Dia juga merupakan jurulatih Serbia untuk 19 perlawanan sepanjang pertengahan 2012 hingga lewat 2013.
Kelab pertamanya di luar Serie A adalah bersama kelab Portugal Sporting Lisbon, sebelum kembali ke Bologna pada awal 2019.