Isu peneroka: GWGF bakal serah memorandum kepada Anwar

Iklan
Rozali Ismail

PUNCAK ALAM - Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) sedang menyiapkan memorandum berhubung permasalahan peneroka untuk diserahkan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, memorandum itu mengesyorkan kerajaan untuk menangani beberapa perkara membabitkan isu dihadapi 5 juta peneroka di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, semua golongan generasi peneroka mengharapkan kerajaan baharu dapat menyelesaikan isu berbangkit antaranya masalah pengurusan tanah lebih sistematik, isu sosial dan pendidikan.

"Sebanyak 14 persatuan di bawah GWGF akan mengadakan pertemuan dengan menteri yang menjaga Felda untuk bincang isu yang boleh diselesaikan bersama untuk memacu kepentingan peneroka dan generasi seterusnya," katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian dan Pelepasan Konvoi Ride Bersekutu Versi 5 2022 (RBVS 2022) di Puncak Alam Driving Range di sini pada Sabtu.

Iklan

Rozali berkata, memorandum yang telah lengkap dengan beberapa syor itu dijangka diserahkan kepada kerajaan pada tahun depan.

Rozali (dua dari kiri) mengiringi Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim (tiga dari kiri) membuat pelepasan pada Majlis Perasmian dan Pelepasan Konvoi RBVS 2022 di Puncak Alam Driving Range di sini pada Sabtu.

"Pada masa ini, sebahagian draf daripada memorandum itu telah hampir disiapkan dan kita teliti apa yang boleh ditambah baik untuk kepentingan generasi masa depan," kata beliau.

Iklan

Ditanya mengenai penganjuran konvoi motosikal berkuasa tinggi itu, Rozali berkata, program konvoi motosikal berkuasa besar itu bermula dari Puncak Alam ke Seberang Prai, Pulau Pinang.

Kata beliau, konvoi disertai 500 penunggang motosikal dari Gabungan Kelab-Kelab Permotoran Malaysia itu menyertai penganjuran yang diadakan setiap tahun sejak 2016.

Bagaimanapun, Rozali memberitahu, penganjuran itu terhenti pada tahun 2020 dan 2021 akibat penularan Covid-19.

"Tujuan utama program ini dianjurkan bagi mempromosikan kempen keselamatan jalan raya di samping meningkatkan kesedaran mengenai semangat kesukarelawan dan mengeratkan silaturahim antara kelab permotoran di negara ini," jelas beliau.