SUNGAI BULOH - Kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya pada pagi Jumaat telah mendapat perhatian lebih 50 sukarelawan Yayasan Buddhist Tzu Chi bagi membantu waris mangsa yang terlibat.
Wakil Sukarelawan Yayasan Buddhist Tzu Chi, Tan Chee Wei, 50, berkata, mereka telah menyediakan empat syif bagi sukarelawan yang terlibat untuk menemani dan memberi sokongan kepada waris.
Menurutnya, selain di Hospital Sungai Buloh, sukarelawan yayasan itu juga ditempatkan di Balai Polis Ulu Yam, Hospital Kuala Kubu Bharu dan Hospital Kuala Lumpur.
Dilaporkan seramai 21 mangsa insiden tanah runtuh di Batang Kali disahkan meninggal dunia setakat jam 7.10 malam pada Jumaat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini seramai 12 mangsa belum ditemui.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta semua agensi penguat kuasa telah dimobilisasi sepenuhnya bagi usaha mencari dan menyelamat.
Chee Wei menambah, daripada apa yang diperkatakan oleh waris, mereka masih lagi berharap bahawa mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh berkenaan masih lagi hidup.
"Semua waris masih kata mereka masih berharap (yang terlibat masih hidup) walaupun sudah tahu beberapa mangsa.
"Ada (juga) keluarga yang telah memberi sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tetapi setakat ini apa yang kami tahu belum dipastikan,” katanya.