SHAH ALAM - Anak muda diingatkan untuk terus memainkan peranan sewajarnya di dalam dunia politik agar kesinambungan politik matang dapat diterjemahkan seterusnya membudayakan amalan demokrasi terpimpin di negara ini.
Ketua Penerangan Ikram Muda Malaysia, Usaid Asmadi berkata, suara golongan belia dan anak muda bukan sahaja perlu didengari, malah kumpulan itu juga seharusnya tidak dipisahkan daripada dunia politik dengan kekangan yang dibuat secara tidak langsung.
Sebagai contoh katanya, golongan mahasiswa seharusnya tidak lagi ditakut-takutkan dengan akta yang boleh menyekat penglibatan mereka di dalam dunia politik, seterusnya memberi kesan langsung kepada budaya yang lahir daripada akta tersebut.
Menurutnya, negara sebelum ini mengamalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), namun pindaan dibuat pada AUKU 2019 yang membuang Seksyen 15(2)(c) merujuk kepada halangan untuk pelajar universiti terlibat dalam aktiviti politik di dalam kampus.
"Undang-undang seumpama itu dilihat cuba 'menakut-nakutkan' golongan mahasiswa, menyebabkan generasi muda menjadi penakut, pendiam dan apabila nampak kemungkaran, dia akan diam sebab takut kena hukum.
"Jadi mereka ini tanpa sedar telah dididik sekiranya terlihat perkara yang bercanggah dengan kebenaran, secara tidak langsung mereka sedar bahawa mereka langsung tidak boleh menegur apa yang berlaku.
"Generasi baharu seumpama itu adalah kesan langsung daripada proses dipolitasi yang diamalkan selama ini, maka untuk menghubungkan balik golongan ini dengan politik, ia akan memakan masa yang lama," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Usaid berkata, sekiranya AUKU itu sendiri selama 40 tahun dilaksanakan di Malaysia, maka tempoh yang lama itu telah melahirkan generasi-generasi yang terkesan daripada akta tersebut.
Oleh sebab itu katanya, negara pastinya tidak boleh untuk menjangkakan dalam tempoh lima tahun ke hadapan ini, anak muda akan berubah dan mengambil perhatian penuh kepada soal politik negara.
Jelasnya, dalam jangka masa terdekat ini, signal daripada anak muda menggambarkan ada kepincangan sistem yang menyebabkan anak muda jadi sebegitu tanpa sedar.
Namun begitu katanya, ia berlaku bukan kerana anak muda tidak mahu tetapi kerana sistem di negara ini yang tidak mengajak mereka ke arah itu.
"Maka signalnya adalah melibatkan masalah dalam sistem pendidikan dan ia perlu diperbetulkan, selain budaya politik juga perlu berubah kepada satu suasana politik yang lebih mesra dengan anak muda.
"Kalau hendak menarik minat anak muda dengan politik, ia perlu ada satu sifat 'belonging atau relateable' anak muda kepada soal politik, berupaya menjaga kebajikan anak muda dan jaminan masa depan golongan tersebut," katanya.
Sementara itu tambah Usaid, permasalahan yang timbul semasa Covid-19 dan polemik politik yang berlaku sebelum ini harus diambil kira kerana ia telah mengganggu proses pendidikan melibatkan golongan Undi 18.
Jelasnya, krisis Covid-19 telah mengalihkan keutamaan daripada pendidikan politik kepada fokus memberi akses pendidikan kepada semua pelajar terkesan, sementara polemik politik telah mengubah kepimpinan negara yang dilihat mengendurkan iltizam politik untuk menjayakan Undi 18 dengan sebaiknya.
Tegasnya, kedua situasi tersebut secara langsung memberi kesan terhadap penglibatan dan kesedaran generasi pengundi baharu terhadap dunia politik negara.