Tanah runtuh: JBPM pasang sistem kesan pergerakan tanah

Iklan
Pemandangan atas kawasan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, hari ini. - Foto Bernama

BATANG KALI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memasang sistem pengesan pengerakan tanah di kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan di Gohtong Jaya di sini bagi memantau kemungkinan berlaku runtuhan susulan.

Pengarahnya, Datuk Norazam Khamis berkata, dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), peralatan itu dipasang di tiga lokasi sebagai langkah berjaga-jaga kerana keadaan runtuhan masih baharu serta faktor cuaca hujan yang boleh menyebabkan berlaku gelongsoran tanah.

Iklan
Iklan

"Langkah ini juga demi menjamin keselamatan anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR), ” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, jumlah anggota dan pegawai di lapangan bagi operasi berkenaan turut dihadkan kepada 135 anggota atas risiko keselamatan namun ia tidak mengganggu skop serta proses pencarian.

Iklan

Semalam, dilaporkan kira-kira 700 anggota dan pegawai turut serta dalam operasi mencari mangsa tertimbus.

Dalam insiden 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya di sini.

Iklan

Setakat tengah malam tadi, 12 orang dilaporkan masih hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

Operasi SAR hari kedua bermula 8 pagi ini selepas ditangguh tengah malam tadi susulan hujan lebat. - Bernama