KUALA KRAI - Fenomena kepala air yang berlaku dua kali setiap sehari semasa musim tengkujuh ketika ini menyebabkan seorang pengusaha pusat rekreasi mengambil langkah lebih awal merehatkan operasi pusat itu di Sungai Batu, Jelawang, Dabong, di sini bermula November lalu.
Pengusaha Jelawang Pipe Resort & Extreme Park, Wan Zonnum Al-Masri Wan Abdul Aziz, 26, berkata, tapak perkhemahan di pusat itu dapat menampung 200 peserta pada satu-satu masa dengan bayaran RM5 semalam bagi setiap orang.
Menurutnya, pada hujung minggu, tapak perkhemahan itu dipenuhi pengunjung sama ada berkeluarga atau rombongan yang datang bermalam dalam khemah di kawasan berbukit di tepi Sungai Batu.
"Tetapi, pada musim tengkujuh, sungai ini mengalami kepala air dua kali sehari, pagi dan petang atau pagi serta malam yang boleh membahayakan nyawa pengunjung.
"Sebab itu, tanpa menunggu arahan rasmi sekalipun, kami akan bertindak menutup operasi lebih awal iaitu bermula 1 November sehingga 30 Januari tahun depan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Sabtu.
"Kami tetap berwaspada kerana tanah tinggi berisiko berlaku runtuhan atau menggelongsor lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh.
"Kemalangan seperti itu tidak pernah berlaku setakat empat tahun pusat ini beroperasi namun 20 kakitangan yang bertugas sentiasa berjaga-jaga dengan kelengkapan keselamatan seperti pelampung dan tali jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya.
Dia mempunyai lesen sah daripada Majlis Daerah Dabong untuk perusahaan pusat rekreasi yang turut menempatkan bilik unik daripada pembetung.
Pemuda itu turut berkongsi masa lapang ketika ini hanya digunakan untuk berehat ditambah dengan cuaca semasa di Kuala Krai yang sudah empat hari mengalami hujan lebat sejak Selasa lalu.
Pada Sabtu, negara digemparkan dengan kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, Selangor yang setakat ini seramai 23 mangsa disahkan meninggal dunia, manakala 10 orang lagi masih hilang.
Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh itu yang berlaku pada awal pagi Jumaat.