HULU SELANGOR - Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh akan tertumpu di sektor A iaitu tapak perkhemahan Hilltop di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali di sini, pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, penemuan dua mangsa terbaharu dipercayai ibu berusia 30-an dan anak lelaki dianggarkan berusia dua hingga tiga tahun, pada jam 1.05 petang Sabtu.
"Kedua-dua mayat itu ditemui pada jarak 800 meter berhampiran kolam yang terletak di bahagian Hilltop.
"Pencarian 10 lagi mangsa akan tertumpu di sektor A,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Norazam berkata, setakat ini empat jengkaut sedang digunakan dalam operasi SAR.
"Kita akan meminta lebih banyak jengkaut supaya usaha mencari mangsa dapat disegerakan.
"Seramai 135 pegawai dan anggota penyelamat terlibat dalam operasi SAR,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah mengesahkan 23 mayat telah ditemui setakat ini manakala 10 lagi masih dalam pencarian.
"Kami menggesa ahli keluarga atau waris tampil bagi mengenal pasti mangsa,” katanya.