APM WP kerah hampir 30 anggota ke Batang Kali

Iklan
Effendy (depan) bersama anggota CDERT Al Najah Kedah.

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan mengerahkan hampir 30 anggotanya untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, operasi SAR yang telah memasuki hari kedua memerlukan tumpuan dan kudrat yang tinggi daripada semua anggota SAR dan agensi yang terlibat.

Iklan
Iklan

"Hampir 30 anggota dikerahkan ke Batang Kali sebab benda ini berpanjangan dan ada tempoh-tempoh kerjanya. Kalau ikutkan memerlukan ramai lagi tenaga (dalam SAR ini).

"Kita kerah anggota dari tiga daerah dalam Wilayah Persekutuan, Putrajaya sekali untuk membantu operasi di Batang Kali," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bilik Gerakan CDERT Al Najah Negeri Kedah yang beroperasi di Taman Desa Baiduri Jalan Gangsa, Alor Setar.

Hadir sama, Komandan CDERT Al Najah, PPj Bersekutu (PA) Datuk Seri Ahamad Musa So dan Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff.

Effendy (tengah) merasmikan Bilik Gerakan CDERT Al Najah Negeri Kedah yang beroperasi di Taman Desa Baiduri Jalan Gangsa, Alor Setar.

Iklan

Effendy berkata, masyarakat diminta untuk mengurangkan aktiviti di kawasan berisiko pada musim Monsun Timur Laut ini kerana keadaan cuaca yang masih tidak menentu.

Dalam perkembangan lain, Effendy menyifatkan kewujudan Bilik Gerakan CDERT Al Najah Negeri Kedah mampu menjadi contoh kepada CDERT lain di Malaysia.

Menurutnya, objektif penubuhan bilik gerakan itu adalah untuk dijadikan pusat pentadbiran bagi memudahkan segala pengoperasian dan pelaksanaan dalam kalangan ahli CDERT Al Najah tidak kira dari segi pelarasan sumbangan, bantuan kepada komuniti setempat serta bantuan sumber tenaga manusia kepada agensi yang lain.

Sebagai rekod, bilik gerakan tersebut telah beroperasi pada Jun 2022 dan dianggotai oleh seramai 16 ahli yang berdaftar serta diselia oleh Kapten Bersekutu (PA) Noraileen Ong Abdullah yang merupakan Pengerusi CDERT Al Najah Kedah.

Sementara itu, Mohd Muaz berkata, seramai 1,010 anggota APM Negeri Kedah sedia digerakkan bagi Bantuan Pasukan Respon Bencana Sokongan (Paras) menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di negeri pantai timur.

Menurutnya, bantuan logistik yang dimiliki oleh pihaknya juga akan dihantar mengikut keperluan semasa ke negeri yang ditimpa bencana.