KUALA LUMPUR - Rakaman video tular mendakwa berlaku runtuhan cerun di jalan Bukit Miku, Negeri Sembilan, adalah tidak benar, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata sebaliknya, kejadian runtuhan jalan itu berlaku di laluan FT 009 Seksyen 7.3 Jalan Tampin-Kuala Pilah-Manchis dan ia dirakam pengguna jalan raya pada awal kejadian runtuhan.
Iklan
Iklan
"Laluan alternatif telah disediakan iaitu Jalan Ulu Keru-Air Mawang kepada pengguna jalan raya yang mahu ke Tampin atau Kuala Pilah," kata Nanta dalam kenyataan di laman Facebooknya, pada Sabtu.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada pengguna yang prihatin dan berkongsi kejadian itu demi kebaikan serta keselamatan bersama, Nanta berkata kerja-kerja pembaikan jalan terbabit akan dimulakan pada Januari depan. - Bernama