PIALA Dunia Kelab 2025 akan menampilkan 32 pasukan, menjadikan formatnya seperti Piala Dunia 2022 yang sedang berlangsung di Qatar.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata, kejohanan itu yang kini membabitkan tujuh pasukan tersebut akan diadakan setiap empat tahun sekali dilihat akan meningkatkan lagi pendapatan badan sukan global itu.
Katanya, FIFA menjangkakan pendapatan sebanyak AS$11 bilion (RM48.67 bilion) untuk tempoh empat tahun antara 2022 dan 2026, namun itu tidak termasuk format Piala Dunia Kelab baharu pada 2025.
"Angka 11 bilion ini tanpa Piala Dunia kelab (pada 2025). Pada penghujung empat tahun kami akan membuat lebih banyak pendapatan,” kata Infantino pada sidang akhbar.
Pada masa ini pasukan teratas setiap pertandingan benua serta juara kebangsaan tuan rumah bertarung untuk merebut gelaran Piala Dunia Kelab.
Untuk rekod, kesatuan global untuk pemain bola sepak profesional (FIFPRO) memberi reaksi negatif terhadap keputusan itu.
"FIFPRO mengambil perhatian dengan mengejutkan keputusan Majlis FIFA hari ini berhubung kalendar perlawanan antarabangsa untuk bola sepak lelaki dan wanita yang boleh membawa kesan serius dan memburukkan lagi tekanan terhadap kebajikan dan pekerjaan pemain.
"Walaupun persefahaman FIFPRO dicapai dengan FIFA minggu lalu bahawa rundingan bersama kalendar perlawanan antarabangsa akan berlangsung sebelum Kongres FIFA pada Mac 2023, keputusan ini diambil secara unilateral tanpa berunding secara serius, apatah lagi bersetuju, dengan pemain,” katanya dalam satu kenyataan.