Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat

Iklan
Anggota Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang melakukan pemantauan di kawasan rumah penduduk kampung Padang Licin yang terjejas akibat bencana banjir. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Kelantan merekodkan trend menurun manakala Terengganu mencatatkan peningkatan dan Johor serta Perak kekal.

Di KELANTAN, seramai 1,508 mangsa banjir daripada 467 keluarga di jajahan Pasir Mas ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini (Sabtu), menurun berbanding 1,814 orang daripada 565 keluarga sebelah pagi.

Iklan
Iklan

Sekretariat JPBN Kelantan memaklumkan 712 mangsa berlindung di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Kedai Tanjong (34), SK Gual Periok (516), Masjid Mukim Padang Licin (57), PPS Putat Tujoh (30) dan SK Kubang Kual (165).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir yang masih berada di PPS petang ini (Sabtu) meningkat sedikit kepada 23 orang daripada enam keluarga berbanding 20 orang daripada lima keluarga, sebelah pagi.

Iklan

Di JOHOR, JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir kekal 91 orang dengan 21 keluarga berada di tiga PPS di Segamat iaitu Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya manakala tiga keluarga di PPS Sekolah Agama Pangkalan Batu di Mersing, setakat 4 petang.

Tiga lokasi terjejas banjir di Segamat adalah Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 serta Kampung Kuala Paya dan satu lokasi di Mersing melibatkan Kampung Lubuk.

Iklan

Cuaca di Johor Bahru, Mersing, Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kulai dilaporkan hujan, manakala Muar, Segamat, Kluang dan Tangkak cerah setakat ini.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir petang ini kekal dengan 15 orang daripada tujuh keluarga dari Kampung Sungai Belakang, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Nipah Darat yang ditempatkan di PPS SK Sungai Tiang Darat. - Bernama