SHAH ALAM - Waris dan mangsa kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm di Batang Kali yang terkesan dari segi emosi disarankan supaya menghubungi talian krisis kesihatan mental kebangsaan bagi mendapatkan bantuan dan sokongan.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya turut berdukacita dan mengucapkan takziah kepada waris-waris mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut.
"KKM berdukacita di atas kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 16 Disember dan mengucapkan takziah kepada waris mangsa yang terlibat.
"Bagi mereka yang terkesan dari segi emosi akibat kejadian, boleh menghubungi Talian HEAL 15555 untuk mendapatkan bantuan dan sokongan,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Sabtu.
Skop talian krisis tersebut merangkumi permasalahan kemurungan, stres, keresahan, tingkah laku bunuh diri, khidmat nasihat kepada keluarga atau penjaga pesakit mental dan sokongan ‘postvention’.
Talian krisis berkenaan beroperasi setiap hari termasuk cuti umum dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan pihak bomba menganggarkan sekitar 100 mangsa dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father's Organic Farm, Batang Kali pada awal pagi.
Setakat jam 5 petang pada Sabtu, seramai 24 mangsa dilaporkan meninggal dunia.