Tanah runtuh: Empat mangsa di Hospital Selayang stabil

Iklan
Dr Zaliha Mustafa (tiga dari kiri) hadir melawat mangsa kejadian tanah runtuh yang dirawat di Hospital Selayang.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Empat mangsa termasuk seorang wanita hamil dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor yang menerima rawatan di Hospital Selayang berada dalam keadaan stabil, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

"Ini hasil rawatan yang diterima daripada pakar-pakar, kita jumpa keempat-empat mereka, Alhamdulillah semua baik dan mungkin ada yang akan discaj esok atau lusa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa insiden tanah runtuh yang dirawat di hospital itu bersama isteri Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Dr Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan akan menyediakan rawatan sokongan psikososial kepada mangsa dan keluarga individu yang terkorban bagi memastikan kesihatan mental serta emosi mereka dalam keadaan baik.

Beliau berkata, pihak kerajaan melalui Hospital Selayang akan berusaha memberikan rawatan dan jagaan terbaik kepada semua mangsa tragedi tanah runtuh itu.

"Sehubungan itu, saya berharap ahli keluarga kekal bersabar dan tabah dalam mengharungi ujian ini. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mendoakan kekuatan dan ketabahan kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.

Insiden sekitar jam 2.42 pagi semalam, yang melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter, telah meragut 24 nyawa setakat ini.

Sembilan mangsa masih hilang manakala 61 orang terselamat. - Bernama