Ops Terjah bantu kesan punca kurang bekalan minyak masak

Iklan
Datuk Seri Salahuddin Ayub
JOHOR BAHRU - Pelaksanaan Ops Terjah dalam tempoh sebulan di seluruh negara dilihat dapat membantu mengesan punca masalah kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, berdasarkan laporan Kementerian Kewangan (MOF) dan data kementeriannya, kuota minyak masak yang dibekalkan adalah 60,000 tan sebulan dan ia seharusnya mencukupi untuk menampung keperluan rakyat di seluruh negara.

Justeru itu beliau berkata, Ops Terjah harus dilaksanakan memandangkan terdapat pasar raya yang mengamalkan kawalan dalaman, dengan mengeluarkan sebahagian sahaja minyak masak bagi memastikan bekalan bertahan lama.

"Kita dapati ada pasar raya mengamalkan kawalan dalaman dengan alasan, kalau keluarkan banyak iaitu sekali gus, mungkin bekalan itu tidak bertahan lama, jadi mereka keluarkan sedikit demi sedikit.

Ini membuktikan bahawa bekalan ini dari segi rantaian bekalan, masih lagi tidak dapat memenuhi kehendak rakyat, khususnya isi rumah yang sepatutnya mendapat bekalan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Bencana Mangsa Ribut Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Perling di sini pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Ops Terjah yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup semalam.

Beliau berkata, selain mengenal pasti punca masalah bekalan, penguatkuasaan undang-undang juga diharapkan dapat dikuatkuasakan sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan, termasuk kebarangkalian penyeludupan ke luar negara.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, kementerian itu akan terus berusaha memastikan bekalan minyak masak sentiasa mencukupi, agar ia sampai kepada golongan sasar yang diberikan kerajaan untuk membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

Mengenai skim harga maksimum musim perayaan sempena Krismas, Salahuddin berkata, terdapat 11 barangan yang telah dikenal pasti dan perkara itu akan diumumkan pada 20 Dis ini.

"Bagi skim harga maksimum musim perayaan sempena Tahun Baharu Cina pula akan diumumkan sama ada 17 atau 18 Januari tahun depan,” katanya.

Semalam, Salahuddin dilaporkan berkata, Ops Terjah melibatkan 2,200 pegawai penguat kuasa kementerian itu di seluruh negara yang akan bertindak melaporkan situasi sebenar kedudukan bekalan dan harga barangan asas. - Bernama